Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Tuesday, February 21, 2012

KENAPA TUJUH (7)?

Foto 1: Nombor TUJUH (7) yang penuh misteri dan mempunyai nilai mistik yang tinggi.
Tujuh merupakan nombor unik yang mempunyai nilai mistik yang tertentu. Nilai yang membawa maksud Totality and Perfection atau Sempurna Secukupnya. Maksud yang dibawa tersebut amat bergantung kepada gabungan nombor yang menghasilkan nilai 7 tersebut. Di dalam dunia persilatan nilai 7 yang dibentuk dari gabungan 3 dan 4 merupakan kombinasi yang membawa maksud Totality and perfection tersebut. 3 dan 4 merupakan dua nombor yang membawa nilai ekstrem masing-masing dan apabila digabungkan menjadi sempurna secukupnya. Nilai ekstrem ini mewakili gabungan seperti berikut: atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang, zahir-batin, baik-buruk, lama-baru, awal-akhir dan lain-lain yang mempunyai maksud yang berlawanan. Asas kepada nombor tersebut meminjam dari nama dua hulubalang terkenal Melayu iaitu TUAH (TA.WAU.ALIF.HA) yang mengandungi 4 huruf dan JEBAT (JIM.BA.TA) yang mempunyai 3 huruf. Kedua hulubalang tersebut mempunyai nilai ekstrem yang ketara yang saling melengkapi antara satu sama lain. Nilai tujuh ini bukanlah satu kebetulan atau pun direka-reka supaya nilainya sebegitu rupa, tetapi ia menzahirkan kebenaran kepada sesuatu perkara yang melangkaui pemikiran manusia dan memerlukan pemahaman secara mistik.
Dalam aliran persilatan seperti  yang terdapat dalam Silat Seni Gayong, nilai 7 merupakan sesuatu yang lumrah kerana terlalu banyaknya factor 7 yang terkandung dalam ilmu persilatan tersebut. Bagi mereka yang menjadi pengamalnya maka perkara ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika mereka memahaminya, namun begitu mungkin ada juga segelintir yang tidak begitu memahaminya dan memandang remeh perkara tersebut. Sikap memandang remeh perkara ini kadang-kadang boleh membawa kepada tindakan dan perkataan yang tidak selari dengan falsafah dan ilmu Gayong yang dibawa oleh Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman (DMAR).
Jika dilihat kepada komponen pelajaran Silat Seni Gayong, konsep sempurna secukupnya dipamerkan dalam 7 komponen utama iaitu:
1.       Tapak Gayong-kaedah menanti serangan
2.       Pecahan Tapak-kaedah mengelak dan melakukan serangan
3.       Seni Simbat-kaedah menetak dan melibas
4.       Seni Keris-kaedah menikam
5.       Seni Cindai-kaedah melilit dan menjerut
6.       Seni Yoi-kaedah bersilat ditempat berlumpur
7.       Seni Belian-kaedah harimau mengoyak mangsa
Kesempurnaan secukupnya boleh dilihat dan difikirkan sendiri kerana jika seorang pesilat itu menguasai kemahiran ke tujuh-tujuh komponen tersebut pastilah ia mampu bersilat dalam apa jua keadaan dan boleh menggunakan apa jua senjata. Secara tersirat kesemua komponen tersebut wujud pada batang tubuh pesilat itu sendiri.
Atas dasar kesempurnaan secukupnya jugalah maka peringkat tertinggi dalam ilmu Gayong dizahirkan dalam bengkung Mahaguru yang bercula 7. Hanya mahaguru sahaja yang layak memakai bengkung hitam cula 7 kerana dalam konteks Silat Seni Gayong hanya beliau sahaja yang memiliki kesempurnaan secukupnya akan ilmu tersebut, dan tiada makhluk lain yang lebih faham dan tahu akan ilmu tersebut melainkan beliau sendiri. Itulah antara maksud tersirat terhadap bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti Tujuh yang dipakai oleh Mahaguru.
Seperti yang diperkatakan di atas tadi, gabungan nilai ekstrem yang membentuk 7 mempunyai maksud tersirat yang mendalam. Jika ada tujuh murid Gayong yang terawal sudah pasti wujud tujuh murid Gayong yang terakhir. Perkara ini dibangkitkan kerana sudah tiba masanya setelah disimpan selama hampir 21 tahun sebagai satu perkongsian ilmu untuk difikirkan bersama. Kisah ini cuba diringkaskan supaya perkara yang menjadi rahsia biarlah kekal sebagai rahsia. Kisahnya begini;
Kira-kira 21 tahun yang lalu empat orang pemuda telah berpakat untuk ke Ayer Kuning. Tujuan utama sebagai memenuhi jemputan Mahaguru ketika pertemuan dengan beliau di rumah Cikgu Md Khiyar di Kajang pada 21hb Februari 1991 supaya ke Taiping untuk mempelajari Seni Cindai. Mereka berempat sebenarnya masih mentah dalam Gayong tetapi rezeki yang datang tidak harus ditolak. Kemudian adik salah seorang pemuda telah ingin turut serta sekali kerana untuk diperlimau tapakkan di Taiping. Beberapa hari sebelum bertolak ke Taiping rancangan ini telah diketahui oleh dua orang lagi dan mereka juga telah menyatakan hasrat untuk ke Taiping. Jadi cukupla 7 orang kesemuanya yang pergi ke Ayer Kuning ketika itu.
Sesampai di Ayer Kuning, ketujuh mereka telah bertemu terlebih dahulu dengan Cikgu Khalsom (CK) dan memaklumkan hasrat dan tujuan. CK berkata “jika Dato’ yang jemput, maka elokla berjumpa Dato’ terlebih dahulu, tapi Dato’ amat uzur sekarang, jika Dato’ tidur biarkan dia, jangan kacau..” ujar CK. Ketujuh mereka pon pergi kebilik DMAR yang sedang berbaring di atas katil. Beliau sedang berbaring sambil jari jemarinya bercantum antara satu sama lain. Matanya sayup memandang ke atas siling. Mereka bertujuh sebenarnya berasa gementar dan serba salah juga melihat keadaan DMAR tersebut, tapi diberanikan juga, seorang yang lebih senior telah memberi salam kepada DMAR sebagai pembuka bicara. Salam tersebut dijawab oleh DMAR, dan semua mereka berasa lega dan tersenyum sendiri. “Hangpa mai dari mana?” Tanya DMAR. “Dari Selangor Dato’”, jawab yang senior. “Hangpa mai berapa orang?” Tanya lagi DMAR dan masih dalam keadaan asal beliau tanpa bergerak diperbaringan. Masing-masing memandang dan mula mengira. “Tujuh Dato’”, jawab mereka hampir serentak. “Tujuh!” balas DMAR secara ringkas dan beliau bingkas bangun dari perbaringan. Masing-masing terkejut melihat DMAR bangun secara tiba-tiba tersebut. Bermula dari detik itu DMAR mula bertanya, bercerita, menurunkan petua, mentera dan rahsia hulubalang kepada mereka bertujuh. Ada masanya beliau bangun berdiri dan kemudian duduk semula. Semangat seorang Mahaguru amat terserlah kerana dalam keadaan uzur pon beliau tetap kelihatan gagah apabila bercerita tentang ilmu Gayong. Beberapa kali juga Datin Faridah menjengok dan menegur DMAR, “Sudahla tu Dato’, tak payahla perturunkan banyak-banyak kat depa tu, nanti dah dapat depa tak mai dah..”. DMAR hanya tersenyum sahaja dengan teguran Datin. Setelah beberapa lama akhirnya DMAR telah menjanjikan sesuatu kepada mereka bertujuh. Kemudian keizinan untuk mempelajari Seni Cindai telah diberikan. Setelah selesai mempelajari Seni Cindai dari Cikgu Mat Yazi dan CK mereka bertujuh pon bersiap untuk pulang. Sebelum pulang sekali lagi bertemu DMAR. Semasa pertemuan itu DMAR sendiri berkata” Mai sini ambik gambaq dengan Dato’, tak pa duduk sini sekali”, sambil menepuk tangannya ke atas tilam. Mereka bertujuh cuba duduk di atas tilam sebagai mematuhi arahan DMAR, tetapi memandangkan katil sudah berkeriuk bunyinya maka tiga orang lagi berdiri di sisi katil. Gambar tersebut dirakamkan oleh Sheera anak angkat DMAR yang paling muda. Kemudian mereka pon pulang dengan hati yang berat kerana memandangkan keuzuran DMAR ketika itu.
Ketika pertemuan dengan CK semasa hari pengkebumian jenazah DMAR, CK memberitahu bahawa setelah ketujuh mereka pulang, DMAR telah memanggil CK dan kemudiannya menyerahkan cincin yang dipakai beliau kepada CK. “Som, hg pakailah cincin ini dan jagala elok-elok”. Itulah kata-kata DMAR kepada CK yang menyebabkan keluarnya airmata kesedihan dan kegusaran. “Dato’ macam dah tau saat dia dah tiba”, ujar CK. Selepas penyerahan cincin itu Dato' tidak lagi banyak berbicara apabila didatangi orang.
Tujuh yang dinukilkan di sini hanya sekelumit sahaja kerana bicara ini dalam konteks Gayong dan terhad kepada apa yang diperkatakan. Banyak lagi “rahsia terpendam dipurbakala” yang boleh dizahirkan bagi mereka yang ingin tahu dan faham.


Foto 2: Tujuh murid terakhir Dato’ Meor Abdul Rahman? Dari kiri di atas katil: Master, Sri Kandi, DMAR, Dino (belakang DMAR), Uda. Berdiri di sisi katil: Kiyai, Gadek @ Hulubalang 2020 dan Si Komeng. Dimanakah mereka sekarang, membawa haluan masing-masing? Kenapa?
Begitulah kisah yang telah berlaku kira-kira 21 tahun yang lalu. Hebatnya seorang Mahaguru lagenda di zaman moden ini telah dizahirkan oleh DMAR. Masing-masing mempunyai persepsi yang berbeza terhadap apa yang diperturunkan oleh DMAR. Jika tujuh orang maka akan wujud 7 persepsi yang berbeza, begitulah indahnya Gayong kerana Gayong itu HIDUP... Kerana itu dari satu dipecahkan tujuh, dan setiap tujuh itu dipecahkan tujuh.. Secara fitrahnya Gayong itu berpecah, pecahnya Gayong kerana sayang, maka hebatlah mereka yang berjaya mencantumkan Gayong, kerana pada hati mereka itu pasti mengingat Junjungan empunya seru....Wallahua’lam.