Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Sunday, October 7, 2012

KESAH PERTARUNGAN DATO’ MEOR RAHMAN DAN BRUCE LEE: VERSI 7.7


Kesah pertarungan Dato’ Meor Rahman dan Bruce Lee kembali hangat diperkatakan lagi. Catitan kali ini memaparkan versi yang saya tahu dan pegang selama ini. Sedikit olahan dibuat supaya bersesuaian dengan kaedah penyampaian dan penulisan tetapi maksud asalnya tidak berubah. Silakan membacanya:

Dato’ Meor Rahman bersama saudaranya Dato’ Syed Ahmad Jamalullail sedang berada di dalam VIP room di lapangan terbang Hong Kong. Sedang mereka berbual-bual menanti penerbangan berikutnya mereka didatangi oleh seorang lelaki yang memaklumkan ada seseorang ingin bertemu Dato’ Meor Rahman. Dato’ Meor Rahman memberikan persetujuan. Tidak lama selepas itu beberapa orang lelaki memasuki VIP room. Salah seorang dari mereka bertanyakan kepada Dato Meor Rahman “Do you know me?”. Dato Meor Rahman merenung tajam kepada lelaki tersebut dan berkata, “Ya, I know you, you look like Bruce Lee”. Kata tersebut dijawab pantas oleh lelaki tersebut, “Yes, you are right, I am a great Bruce Lee”. Selepas berkata demikian, lelaki tersebut dengan angkuhnya mencabar Dato’ Meor Rahman untuk memperlihatkan kehebatan ilmu persilatan. Cabaran tersebut ditolak secara baik oleh Dato’ Meor Rahman dengan berkata “I come here not to fight, I want to see the world”. Namun tolakkan tersebut menyebabkan lelaki itu mengeluarkan kata-kata yang betul-betul mencabar maruah diri dan persilatan Dato Meor Rahman. Lelaki itu berkata,”I challenge you, if I lose, your martial art is the best, but if you lose…”. Mendengar kata-kata itu Dato’ Meor Rahman dengan pantas memintas kata lelaki itu dengan berkata,”How can I lose!”. Dengan berkata demikian Dato’ Meor Rahman bingkas bangun dari tempat duduknya dan terus berdiri menghadap lelaki tersebut. Lelaki tersebut tertawa dan memandang kearah Dato’ Meor Rahman sambil membuka bajunya. Dato’ Meor Rahman hanya tersenyum sinis melihat perlakuan lelaki tersebut, di dalam hatinya beliau berkata, “Huuh, cakap aje besaq, badan kecik aja”. Lelaki itu bertanya kepada Dato Meor Rahman,”Are you ready? Maka dijawab oleh Dato’ Meor rahman, “Ya, I am ready”. Lelaki tersebut berkata lagi “Then, show me your art” apabila beliau melihat Dato’ Meor Rahman hanya berdiri lurus. Dato’ Meor Rahman menjawab “This is my art, stand still is my art!” Mendengar jawapan tersebut lelaki itu terus menerjah dengan serangan kaki bertubi-tubi, namun semua serangan kaki tersebut ditangkis dan dibuang oleh Dato’ Meor Rahman. Lelaki itu tidak berpuas hati, beliau mendakwa semua kaedah tangkisan dan buangan yang dilakukan oleh Dato’ Meor rahman itu kaedah biasa yang juga wujud dalam ilmu bela dirinya. Dato’ Meor Rahman tersenyum sinis lagi, dalam hati beliau berkata “ Hang nak sangat ka ni, kurang ajaq punya XXXX, nak main-main dengan aku!” Selepas itu Dato Meor Rahman merapatkan telapak tangannya kemulut sambil membaca mentera hulubalang “-------------”. Melihatkan perlakuan Dato Meor Rahman itu lelaki tersebut tertawa lagi, dan berkata “That’s good, I really like it”. Dato’ Meor Rahman hanya tersenyum sinis dan menanti serangan dari lelaki tersebut dan berkata, “You really want to see the Malay art, come on”. Mendengarkan kata tersebut lelaki itu terus menyerang dengan pantas. Sepantas kilat Dato Meor Rahman bergerak dan melepaskan pukulan yang tepat mengenai hulu hati lelaki tersebut. Hasil dari pukulan yang dikenali sebagai Kipas Nandung tersebut lelaki itu melambung dan terhempas ke lantai. Lelaki itu terjelepok dan tidak bermaya lagi. Melihat keadaan tersebut, rakannya yang lain segera mengangkat dan membawa keluar lelaki itu keluar dari bilik VIP tersebut. Tamat.

Foto: Dato Meor Abdul Rahman dalam beberapa aksi ketika muda dan telah berusia memaparkan keadaan fizikalnya yang mantap dan gagah. Seorang yang mempunyai pengalaman mempraktikkan ilmu persilatannya semasa zaman dan keadaan yang kritikal era 30an, pendudukan Jepun, bintang tiga dan lain-lain peristiwa yang mencabar maruah agama, bangsa dan negara.

Kepada mereka yang tidak mengenali Dato Meor Rahman mungkin akan berkata ini cerita karut dan dongengan semata-mata. Bagi saya masing-masing mempunyai hak untuk mempercayainya atau tidak. Catitan saya pada kali ini hanya bertujuan untuk menjelaskan kenapa saya percaya peristiwa itu berlaku dan untuk menjawab cacian dan penghinaan orang terhadap Silat Seni Gayong dan Dato Meor Rahman sendiri. Mari kita lihat siapa Dato Meor Rahman dan kronologi penglibatannya dalam persilatan. Dato Meor Rahman bukan jaguh kampong biasa, beliau adalah seorang yang bersifat global yang mewarisi ilmu persilatan Laksamana Hang Tuah yang juga seorang yang bersifat global. Berikut adalah kronologi secara ringkas yang menyebabkan beliau dikenali ramai dalam dunia bela diri yang mendorong kearah pertarungan tersebut.

1927, ketika berusia 12 tahun mempelajari silat dari datok sebelah ibunya iaitu Tok Janai atau nama sebenarnya Syed Zainal Bin Syed Idris Bin Syed Hatta, pewaris ilmu persilatan dari jurai Merong Maha Wangsa.

1934, dikhatamkan dan mewarisi ilmu persilatan Laksamana Hang Tuah. Mendapat gelaran Panglima Sendo Perak yang diberikan oleh Sultan Alang Iskandar setelah mempamirkan kehebatan dan kegagahan.

1939, dilantik menjadi jurulatih combat Royal Signal Cops di Singapura setelah menewaskan jurulatih dari Hong Kong.

1942, mempertahan penduduk Pulau Sudong di Singapura dari tentera Jepun yang sedang bermaharajalela ketika itu

1943, ditahan dan dipenjarakan oleh tentera Jepun. Berjaya menumpaskan tentera Jepun ketika menuju ketempat hukuman. Hasil campur tangan keluarganya, beliau diampunkan dan dipaksa bekerja dengan Jepun.

1947, dianugerahkan pingat King George ke VI kerana keberaniannya menentang Jepun semasa perang dunia kedua.

1950-60an, Silat Seni Gayong berkembang pesat di Singapura dan Tanah Melayu.

1967, artikel berkaitan Silat Seni Gayong dan Dato’ Meor Rahman diterbitkan dalam majalah Black Belt September 1967

1969, peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Sentimen antara kaum di Malaysia kerana sifat kiasu kaum tertentu yang tidak menghargai toleransi Melayu selama waktu tersebut.

1970, mengadakan persembahan silat selama dua minggu di Osaka Jepun. Semasa di Osaka ini Silat Seni Gayong dan Dato Meor Rahman mendapat liputan media yang sewajarnya dan dikenali ramai.

1972, rombongan dari Hong Kong telah pergi ke Taiping untuk mencari pesilat yang mampu bertarung dengan Bruce Lee. Ahli rombongan telah ditewaskan oleh Dato Meor Rahman dan murid kanan beliau Cikgu Ahmad Lazim.

1973, Bruce Lee meninggal dunia pada 20 July 1973. Menurut Dr Langford yang merawat Bruce Lee, beliau berkata tiada siapa yang membunuh Bruce Lee, Bruce Lee yang membunuh dirinya sendiri dengan mengambil dadah secara berlebihan.

1974, sekali lagi artikel berkaitan Silat Seni Gayong dan Dato’ Meor Rahman dikeluarkan oleh Majalah Black Belt April 1974.

Berdasarkan maklumat dari kronologi di atas, secara lojiknya pertarungan tersebut harus berlaku. Bermula pada penerbitan Black Belt 1967 itu, harus Dato Meor Rahman mula dikenali pada peringkat antarabangsa. Ini ditambah pula dengan kehadiran beliau di Osaka, Jepun dalam perhimpunan dan persembahan seni bela diri antarabangsa. Kisah cabar mencabar di Osaka, Jepun juga menjadi penambah rasa keinginan seorang yang angkuh dan ego untuk mencabar beliau. Kerana itu pada pada tahun 1972 rombongan dari Hong Kong telah hadir ke Taiping bagi tujuan cabaran dan pertarungan itu. Semasa hayatnya, Bruce Lee mengkaji seni beladiri tradisional dan menganggap beberapa kaedah tradisional tidak praktikal. Lantaran itu beliau mencipta satu kaedah yang diberi nama Jeet Kun Do yang dianggap amat praktikal dalam amalan bela diri dan pertarungan. Silat tidak terlepas dari menjadi bahan kajiannya. Pertarungan di lapangan terbang Hong Kong juga harus berlaku kerana telah ada maklumat yang diperolehi oleh Bruce Lee tentang kehadiran Dato Meor Rahman, dan peluang ini tidak harus dilepaskan. Jika benar kematian Bruce Lee memang disebabkan pengambilan dadah yang berlebihan. Persoalannya kenapa beliau perlukan dadah tersebut? Jawapannya, harus Bruce Lee menggunakan dadah tersebut bagi mengatasi kesakitan yang amat sangat akibat pukulan Kipas Nandung Dato Meor Rahman. Cerita pertarungan itu telah tersebar secara meluas dikalangan pengamal bela diri antarabangsa, tetapi menjadi rahsia yang tersimpan rapi disebabkan factor yang tertentu. Rentetan dari kesah yang tersebar itu wartawan majalah Black Belt telah mengeluarkan lagi sekali artikel berkenaan Silat Seni Gayong dan Dato Meor Rahman pada tahun 1974. Dikalangan masyarakat awam pula, terdengar juga desas desus pertarungan ini sebenarnya dengan Dicky Zulkarnain seorang actor Indonesia yang terkenal dalam cerita persilatan Si Pitung yang dihasilkan pada tahun 1970. Namun begitu Dicky Zulkarnain sendiri pernah menafikannya pada tahun 1987 di Kejuaraan Silat Sedunia di Kuala Lumpur dan mendakwa orang yang menewaskan Bruce Lee ialah seorang mahaguru yang berada di sini (di dalam stadium tersebut). Terdapat juga kisah lain dimana Bruce Lee pernah ditewaskan oleh pakar shaolin, kung fu dan mereka yang tidak berpuas hati dengan beliau. Walaubagaimanapun, apa sahaja cerita sebenar yang berlaku hanya diketahui oleh rakan rakan Bruce Lee yang berada bersamanya ketika kejadian tersebut.