Foto 1: Muzium Kota
Indera Kayang. Kelihatan tempat parking kereta yang dipercayai sebagai tapak
asal kota tersebut. Tapak kota jadi tempat parking?
“Kota Indera Kayangan atau Kota Al-Marhum
Kayang 1 merupakan kota istana yang terletak di tebing kiri Sungai Perlis. Ia
merupakan kota istana semasa pemerintahan Sultan Kedah ke-15 iaitu Sultan
Dhiauddin Al-Mukarram Shah (1661-1687). Kota dan istana yang dibina ini
terletak di suatu kawasan yang dikelilingi beberapa buah bukit yang terletak di
sebelah selatan tebing Sungai Perlis. Berdasarkan sejarah lisan, kota ini
berkeluasan 6-8 km persegi. Tembok kota diperbuat dari benteng tanah dengan
ketinggian 6-7 kaki. Pohon buluh turut ditanam di atas benteng ini manakala
kaki tembok di bahagian luar pula digali parit sedalam 5-6 kaki dan lebar 7-8
kaki.” –Notis muzium.
Dalam usaha mencari bukti kewujudan kota dan
keinginan untuk melihat sendiri sisa kota tersebut pertanyaan kepada masyarakat
setempat diajukan. Berikut adalah beberapa pandangan masyarakat Perlis dari
pelbagai latarbelakang yang sempat ditemui berkaitan kewujudan Kota Kayang
apabila diajukan soalan “Kota Kayang ni sebenarnya macam mana, memang ada ka
kota tu?”
Pengawal keselamatan muzium: Mana ada kota,
kota dia kota semulajadi aja, tu bukit-bukit tu la yang jadi dia punya kota tu,
kat situ ada gua, depa dok situla”.
Kakitangan muzium: “Hmm… dulu adala kota
dia. La ni tak dak dah. Tapak asal kota tu dulu kat tempat parking kereta kat
depan tu”.
Pelajar IPT: “ Ish, saya pon tak berapa nak
tau, dulu kalu ikut cakap emak ayah saya kawasan tu macam kawasan paya hutan
semak aja”.
Pemandu teksi: “Mana ada mengarut aja tu,
hutan aja kawasan tu, depa nak buat tarikan pelancong apa semua buatla muzium
tu. Kota tu tak daklah, muzium ada la”.
Pemandu kereta sapu: “Hang nak tau buat
apa? Dulu masa pakcik muda-muda dulu memang ada, pakcik ni nakai sikit, ha ha
ha. Pakcik dulu kerja bawa barang seludup, bawa sorok-sorok la. Biasanya pakcik
simpan barang seludup tu kat kota tu la. Tempat tu baguih sebab tak dak sapa
berani pi situ. Yang berani pi pon orang macam pakcik dengan tok bomoh nombor
ekoq, depa dok pi menurun kat kuboq raja yang ada kat situ.. ha, ha, ha..”
Jawapan dan pandangan yang dipaparkan di
atas perlu dijadikan bahan renungan bersama. Persoalannya bilakah kali terakhir
kota tersebut kelihatan? Jawapan pakcik pemandu kereta sapu menjelaskan dalam
beberapa dekad yang lepas kota tersebut masih wujud. Sekurang-kurangnya kesan
tinggalan kota tersebut ditinggalkan untuk tatapan generasi berikutnya.
Menjadikan tapak sebuah kota sebagai padang parking kereta merupakan tindakan
yang merugikan anak bangsa. Adakah tindakan ini terancang atau tidak sengaja?
Walaupun apa alasannya tindakan tersebut adalah sesuatu yang tidak bijak.