Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Wednesday, April 11, 2012

ISTIADAT PERTABALAN YANG DIPERTUAN AGONG KE-14: DAULAT TUANKU!

Foto 1: Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, Yang Di Pertuan Agong yang ke-14 sedang mengucup keris kebesaran kerajaan.



Upacara pertabalan Duli Yang maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke -14 telah berlangsung pada hari ini 11hb April 2012. Majlis yang penuh adat istiadat itu telah berlansung gilang gemilang di Istana Negara yang baru. Ada dua perkara penting yang amat menarik perhatian penulis ketika berlansungnya upacara tersebut.

Perkara pertama ialah pada pertabalan kali ini DYMM telah menghunus dan mencium keris kebesaran kerajaan, perkara yang tidak dilakukan ketika pertabalan ke-13 yang lalu yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Bangsa Raja dan Hulubalang Tua di Tanah Melayu ini. Syabas diucapkan kepada DYMM dan penganjur istiadat kerana mengembali dan mengekalkan budaya perlambangan kekuasaan dan ketuanan Melayu tersebut. Di bawah ini ialah sebahagian sajak yang ditulis oleh Mahaguru Silat Seni Gayong, Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sebagai renungan untuk semua,

Matahari terbit Palembang Seguntang,
Tanahnya subur ditanam padi,
Keris dihunus, dipegang, dijulang,
Kesatriaan pahlawan timbul kembali.

Gayong emas kendi pusaka,
Bekalan air raja kesakti,
Keris kuhunus langkah kumula,
Bangsa Melayu sudah terpuji.


Perkara kedua ialah berkaitan hubungan emosi dan kerohanian antara Raja dan Rakyat di dalam teks ucapan Memanda Perdana Menteri ketika ucapan menjunjung kasih dan taat setia kebawah Duli Tuanku yang dihubungkaitkan dengan sejarah lampau Merong Maha Wangsa. Perkara ini amat bersesuaian kerana baginda sendiri adalah dari jurai Merong Maha Wangsa melalui nenda baginda iaitu bonda kepada Almarhum Sultan Badlishah.




Foto 2: Memanda YAB Perdana Menteri Malaysia sedang menyampaikan ucapan menjunjung kasih dan taat setia kebawah Duli Tuanku.


Berikut adalah antara petikan ucapan YAB Perdana Menteri tersebut, “...sejak dari zaman Kesultanan Melaka, tempoh sebelum merdeka, membawa kepada mencapai kemerdekaan, telah tersulam kemas sehingga kini dalam perjalanan Malaysia pada era moden, kendatipun pertautan Raja dan Rakyat sedang menelusuri jejak-jejak waktu namun ia kekal relevan mendakap hieraki semasa, benarlah bagai dikata hubungan Raja dan Rakyat terpisah tiada, bagai aur dengan tebing saling melengkapi, ikatan kedua-duanya begitu simbiotik, berputik melalui muafakat bai’ah yang telah terpatri kukuh di Bukit Si Guntang Maha Meru antara Sang Sa Purba dan Demang Lebar Daun serta kisah-kisah dalam Hikayat Merong Maha Wangsa. Selanjutnya lagi tawarikh telah turut membuktikan apabila perhubungan antara keduanya distrukturi keharmonian serta dibajai emosi dan kerohanian yang mendalam maka sebarang apa pun kemelut yang dihadapi negara dapat ditangani dengan jayanya..”

Semoga Malaysia akan terus menjadi negara yang aman makmur dan rakyatnya dilimpahi rezeki di bawah pemerintahan Yang Di Pertuan Agong yang ke-14. DAULAT TUANKU!

2 comments:

  1. bukit siguntang Palembang...bermula sebuah perjanjian...di tanah Wong kito...tanah wong kito galo! payoo wong kito maju!

    ReplyDelete
  2. Anon 11:23, Apa makna tu....di tanah Wong kito...tanah wong kito galo! payoo wong kito maju!

    ReplyDelete