Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Monday, October 11, 2010

Pangkalan Data Genetik Melayu Bakal Diwujudkan

Tajuk ini merupakan petikan dari Berita Minggu bertarikh 10.10.2010. Secara hipotesisnya adalah dijangkakan bahawa genetik Melayu Kedah, Melayu Kelantan dan Pattani mempunyai persamaan yang ketara kerana ketiga-tiga sub etnik Melayu ini merupakan sub etnik Melayu yang telah digelapkan oleh penjajah iaitu sub etnik Melayu yang bernama SIAM. Kajian yang mendalam amat dialu-alukan untuk mengiya atau menafikan hipotesis ini. Berikut adalah petikan dari akhbar tersebut:

SERDANG: Satu pangkalan data genetik bangsa Melayu akan diwujudkan selepas kajian mengenainya selesai pada 2016. Ketua Projek Pangkalan Data 1Malaysia, Prof Madya Zilfalil Alwi, berkata kajian itu membabitkan pengambilan lebih 200 sampel dan sudah pun dimulakan di bawah program Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Sehingga ini kajian awal bertumpu kepada lapan sub etnik Melayu iaitu Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Jawa, Bugis, Minang, Pattani, Campa dan Banjar. Katanya, maklumat itu penting bagi usaha peningkatan tahap dan kualiti perkhidmatan kesihatan di Malaysia, penyakit berkaitan serta membantu pemberian ubat-ubatan secara individu.

“Variasi genom dalam DNA mempengaruhi kecenderungan penyakit dan tindak balas individu terhadap ubat-ubatan, jangkitan dan vaksin. Hampir 85 peratus penyakit berpunca daripada faktor genetik. Bagaimanapun di Malaysia tidak banyak maklumat mengenainya malah ada doktor perubatan yang tidak mengetahui mengenainya sedangkan ia penting bagi usaha diagnosis dan rawatan khusus untuk penyakit yang dihidapi. Menerusi pangkalan data ini kita boleh mengetahui kecenderungan kumpulan etnik tertentu untuk berhadapan dengan sesetengah penyakit dan kita juga boleh menguruskan penyakit itu dengan baik,” katanya pada majlis pelancaran Pangkalan Data Genom Melayu Kebangsaan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia di sini semalam.