Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Showing posts with label Tok Moris. Show all posts
Showing posts with label Tok Moris. Show all posts

Friday, January 6, 2012

MISTERI KRIS TAMING SARI DI ISTANA PERAK

Foto: Kris Taming Sari yang berada dalam simpanan Istana Perak.
Kris Taming Sari merupakan sebilah keris yang amat terkenal di kalangan masyarakat Melayu di Nusantara ini. Kesah pertarungan antara Hang Tuah dan hulubalang Majapahit yang bergelar Taming Sari merupakan permulaan kepada terkenalnya kris tersebut. Terdapat banyak kesah, misteri dan versi berkaitan Kris Taming Sari ini. Posting kali ini mengutarakan salah satu versi dari jurai Merong Maha Wangsa, kerana ia berhubungkait dengan Hang Tuah @ Iskandar Mahkota Alam @ Narai salah seorang Maharaja Ayutthaya.
Apabila Taming Sari di miliki oleh Hang Tuah, ianya telah menjadi keris pusaka kebesaran bagi Maharaja Ayutthaya yang memerintah secara bergilir-gilir. Ianya diwarisi turun temurun sehingga kejatuhan Ayutthaya disebabkan pengkhianatan panglima perangnya pada tahun 1767 semasa pemerintahan Syarif Abu Bakar Syah. Semenjak itu pemerintahan secara nomad sebagai Raja Besar dilakukan oleh keturunan Syarif Abu Bakar sehinggalah Raja yang terakhir Sultan Jaafar Muadzam Syah @ Encik Long Jaafar.
Pembunuhan JWW Birch pada tahun 1875 merupakan titik penting yang menjadi sebab musabab lenyapnya sejarah Merong Maha Wangsa apabila pada tahun 1876 Sultan Jaafar Muadzam Syah dibunuh oleh pengkhianat dengan cara dipijak oleh gajah di Gurun, Kedah. Pusat pemerintahan anak beliau di Kota Ngah Ibrahim telah diserbu oleh British dan talibarutnya dan mereka telah merampas alat-alat kebesaran yang dimiliki oleh Sultan Jaafar Muadzam Syah, termasuklah Kris Taming Sari yang telah diwarisi turun temurun. Kesemua barang rampasan tersebut telah dirancang untuk dibawa pulang oleh British ke London untuk simpanan muzium di sana, walaubagaimanapun sultan yang dilantik dan diiktiraf oleh British ketika itu merayu supaya Kris Taming Sari tidak dibawa ke England dan kerana itu kekal tersimpan menjadi keris kebesaran istana Perak sehingga ke hari ini.
Bagi anak-anak Gayong, semua sudah maklum bahawa Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman mempunyai hubungan yang rapat dengan istana Perak. Hubungan yang rapat ini tidaklah terjadi secara kebetulan kerana moyang DMAR di sebelah ibu ialah Syed Idris @ Tok Moris Raja Kota Star yang juga merupakan abang kepada Syed Ismail @ Sultan Ismail Kinta. Syed Idris juga merupakan sepupu kepada Sultan Jaafar Muadzam Syah @ Encik Long Jaafar. Peluang untuk berada di istana ini dan hubungan yang akrab dengan sultan merupakan suatu yang amat berharga kerana DMAR sendiri boleh melihat, memegang dan ‘merasa’ Kris Taming Sari tersebut yang tersimpan di Istana Perak, ini adalah disebabkan DMAR sendiri mempunyai pertalian darah kepada Hang Tuah @ Narai yang menjadi pemilik kepada Kris Taming Sari. Rentetan dari itu timbul berbagai cerita yang boleh dikaitkan antara DMAR dan Kris Taming Sari yang terdapat di Istana Perak tersebut.
Misteri Kris Taming Sari yang tiada kesudahan ini dibawa bersama dengan pulangnya DMAR ke rahmatullah dan disemadikan di Masjid Lama Taiping, Perak. Jadi tidak hairanlah jasad DMAR dikebumikan di Masjid Lama Taiping yang dibina oleh kaum kerabat Ngah Ibrahim di mana kebanyakan yang dikebumikan di situ terdiri dari kaum kerabat Ngah Ibrahim sendiri dari Jurai Merong Maha Wangsa.

Wednesday, October 26, 2011

ROBOHNYA KOTA STAR

Foto: Empat gambaran Kota Star terdiri dari tiga yang asal dan satu replica yang telah dibina semula setelah dirobohkan atas alasan yang tidak bijak dan munasabah.

Jika dilihat pada foto di atas struktur Kota Star yang asal masih kukuh ketika ianya dirobohkan, walaupun sedikit demi sedikit ada tangan-tangan yang cuba merosakkannya. Kerosakan boleh dilakukan terhadap symbol-simbol tertentu yang perlu dihilangkan bagi melenyapkan satu legasi. Kota Star ini pernah dipimpin oleh Syed Idris ibni Syed Hatta atau lebih dikenali sebagai Tok Moris setelah beliau dilantik menjadi Raja Daerah Kota Star oleh nendanya  Sultan Muzaffar III @ Koya Long.
Berikut ialah notis yang boleh dibaca pada replica kota tersebut. “Pintu gerbang ini asalnya terletak di hadapan Istana Kota Tengah, Bandar Alor Star yang merupakan salah sebuah istana Almarhum DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-26 (1882-1943). Istana ini pernah dikunjungi oleh King Chulalongkorn dari Thailand pada 13 Mei 1890. Di atas tapak istana ini kemudiannya telah dibina Wisma Negeri (1973) menyebabkan pintu gerbang yang asal itu terpaksa dirobohkan. Pada  tahun 2008, pintu gerbang itu telah dibina semula sebagaimana bentuk asalnya. Pada setiap sudut pintu gerbang ini mengandungi pelbagai ukiran dan lukisan melambangkan maksud-maksud tertentu hasil ciptaan tukang-tukang Melayu di zaman silam.”
Walaupun telah dibina semula dan didakwa mengikut bentuk asalnya tetapi banyak perkara yang perlu diteliti semula dari rekod-rekod dahulu dan foto-foto yang dipaparkan kerana jelas terdapat beberapa motif ukiran yang telah ditiadakan. Persoalan yang selalu bermain difikiran ini apabila melawat tapak sejarah seperti ini ialah, “Kenapa kota-kota lama ini dirobohkan atau dibiarkan begitu sahaja sedangkan kota penjajah dijaga dengan rapi?” Tanah air tercinta ini tiada malapetaka seperti gempa bumi dan sebagainya kerana mukabumi ini dari jenis gunung lipat tua, tetapi kenapa kota-kota lama kita roboh dan lenyap? Jawapannya ialah lenyap kerana dirobohkan. Kenapa dirobohkan? Jawapannya.... ceghita pon tak guna!

Saturday, August 6, 2011

KEHEBATAN SEMANGAT JUANG MELAYU DI MATA SEORANG PENJAJAH

Foto: Petikan dari journal “Quedah; or, Stray Leaves from a Journal in Malayan Waters”, terbitan Longman London, 1857 yang ditulis oleh Sherard Osborn.
‎Sherard Osborn merupakan seorang pegawai Royal Navi yang menyerang Kedah bersama pakatan Thai Buddha pada tahun 1838. Petikan kata tersebut memberikan gambaran yang jelas betapa penduduk Kedah beserta bantuan dari seluruh Nusantara ketika itu memberi tentangan yang hebat terhadap penjajah.
Antara pahlawan terbilang yang terlibat di dalam penentangan ini ialah Tok Moris @ Syed Idris ibnu Syed Hatta dan Sheikh Abdul Samad Al Palembani. Semangat juang mereka sudah pasti telah menggentarkan musuh. Semangat juang yang berteraskan (GA-genggam), (ALIF-angkat), (YA-yakin), (WAW-waras) dan (NGA-ngeri) ini memberi impak yang besar terhadap musuh, sehingga menimbulkan rasa hormat mereka terhadap semangat pejuang-pejuang ini.
Itulah bezanya bangsa Melayu di tanah semenanjung ini, mereka berjaya mempertahankan maruah dan aqidah walaupun tanah air dijajah. Tidak seperti bangsa lain yang beragama islam di Spanyol, India dan  Filipina yang telah hilang segalanya disebabkan penjajahan. Kerana semangat juang mereka tidak sama seperti yang dimiliki oleh Melayu di tanah semenanjung ini.
Mari kita teliti semula kata-kata tersebut yang bila difikir dan direnungi boleh menusuk kalbu dan menimbulkan rasa syahdu terhadap satu legasi semangat perjuangan Merong Maha Wangsa yang tidak ternilai.
"Seperti anjing, pribumi di sepanjang persisir pantai semenanjung India menjilat tangan orang yang menyiksa mereka; tetapi tidak bagi Orang Melayu; dan kita Orang Inggeris seharusnya menjadi yang pertama menghormati bangsa yang tidak tunduk dengan penuh kehinaan kepada penderaan atau penindasan"

Thursday, January 20, 2011

TOK MORIS @ TOK MO REH @ SYED IDRIS

Tok Moris ialah seorang pahlawan Kedah yang terkenal. Cerita tentang kehebatan Tok Moris ini diwarisi turun temurun oleh keturunannya yang bertebaran di tanah air ini terutamanya di Kampung Kubur Panjang, Pendang, Kedah Darul Aman. Tok Moris atau Tok Mo Reh ini merupakan singkatan nama Tok Bomoh Idris. Gelaran Tok Bomoh ini merupakan nama penyamaran yang digunakan ketika saat kritikal pasca Perang Musuh Bisik 1821. Nama sebenar beliau ialah Syed Idris yang suatu ketika dulu pernah menjadi Raja Kota Star, Kedah.
Foto1: Pedang milik Wan Darus yang mempunyai hulu yang hampir sama dengan hulu pedang Tok Moris.
Nama penuh Tok Moris menurut urutan salasilah ialah Syed Idris ibni Syed Hatta ibni Sultan Muzaffar III ibni Syarif Abu Bakar Syah ibni Sultan Muhyiddin Mansur Syah ibni Sultan Mahmud ibni Nai Hisbu Muadzam Syah ibni Sultan Zahiruddin Muhammad Syah I (Pengasas Empayar Mughal India). Jika dilihat kepada pedang yang digunakan oleh Tok Moris kelihatan dengan jelas wujudnya pengaruh Mughal dalam reka bentuk pedang tersebut.
Foto 2: (Dari buku The Last Mughal, William Dalrymple) menunjukkan  pahlawan Mughal menggunakan 2 pedang mirip seperti pedang Tok Moris dan Wan Darus. Persoalan mula timbul adakah Tok Moris dan Wan Darus adalah orang yang sama? Idris @ Idrus, Deris @ Derus @ Darus? Persoalan ini hanya berdasarkan pahlawan Mughal di atas menggunakan 2 bilah pedang untuk seorang.
Menurut manuskrip Undang-Undang Kedah ciri-ciri pedang yang dimiliki oleh Tok Moris menggambarkan beliau adalah seorang anak raja. Dan sememangnya gelaran panglima pada masa dahulu juga adalah untuk anak dan putera raja. Anak dan putera raja inilah yang akan mempertahankan ayahanda mereka iaitu raja yang memerintah. Tok Moris merupakan Raja Kota Star yang telah dilantik oleh datuknya Sultan Muzaffar III atau lebih dikenali sebagai Koya Long @ Po Chan @ Raja Kemboja.
Foto 3: Kota Star yang pernah menjadi pusat pentadbiran dan pertahanan di bawah pemerintahan Tok Moris. Dapat dilihat dengan jelas motif Bunga Teratai atau Bunga Tunjung pada pintu gerbang kota tersebut.
Kelompok keturunan Tok Moris yang terdapat di Kampong Kubur Panjang adalah dari jurai isteri pertama beliau iaitu Nai Long Anyai yang merupakan kakak kandung kepada Sultan Jaafar Muadzam Syah ataupun lebih dikenali sekarang ini di dalam sejarah mainstream sebagai Encik Long Jaafar. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan antara sepupu kerana Syed Hatta merupakan adik kepada Syed Alang Alauddin @ Panglima Bukit Gantang. Manakala Panglima Bukit Gantang pula merupakan ayah kepada Long Jaafar. Selain dari Nai Long Anyai ada lagi beberapa orang isteri beliau termasuk salah seorang dari keturunan Cina Manchu.
Pasca Perang Musuh Bisik 1821 memberi tekanan yang amat dahsyat kepada keturunan Merong Maha Wangsa kerana selain dari berperang dengan penjajah British dan Thai mereka berhadapan dengan musuh dalam selimut, duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam dari kaum kerabat yang sanggup bersekongkol dengan penjajah semata-mata mahukan kuasa tanpa maruah. Semasa saat kritikal ini penyamaran dengan pelbagai nama dan karektor dilakukan untuk keselamatan keturunan. British dan Thai amat mudah dikenali tetapi pengkhianat dan talibarut dari bangsa sendiri amat sukar dikenalpasti. Ini adalah perkara lumrah yang juga berlaku kepada Tengku Muhammad Saad, Mat Kilau dan lain-lain yang terpaksa menyamar untuk tidak dikenali oleh pengkhianat dan talibarut penjajah. Pejuang- pejuang ini bukanlah orang kebanyakan tetapi terdiri dari anak atau putera raja dan kerabat yang tidak mahu bersekongkol dengan penjajah.
Legasi perjuangan ini terus diwarisi dan dizahirkan oleh salah seorang anak Tok Moris iaitu Syed Zainal yang juga dikenali sebagai Tok Jenai @ Janai. Tok Jenai ini merupakan datuk dari sebelah ibu kepada Mahaguru Silat Seni Gayong iaitu Dato Meor Abdul Rahman. Dan sesungguhnya Silat Seni Gayong yang dizahirkan oleh Dato Meor Abdul Rahman ini adalah warisan Hang Tuah boleh diperjelaskan melalui salasilah keturunan Merong Maha Wangsa. Titisan darah Hang Tuah sememangnya mengalir dalam tubuh Dato Meor Abdul Rahman kerana beliau ialah cicit kepada Syed Idris, yang merupakan cucu kepada Sultan Muzaffar III, yang merupakan anak kepada Puteri Suryamarin, yang merupakan anak kepada Sultan Langkat @ Tok Pasai, yang merupakan anak kepada Laksamana Hang Tuah @ Tun Saaban @ Narai Maharaja Ayuttaya @ Sultan Iskandar Mahkota Alam Acheh.
Berdasarkan perkara tersebut di atas, tidak hairanlah jika terdapat tari Bunga Teratai atau Bunga Tunjung yang merupakan tari sembah Silat Seni Gayong.  Begitu juga lambang naga dan harimau yang digunakan oleh Silat Seni Gayong menunjukkan satu legasi Merong Maha Wangsa yang dizahirkan oleh mahaguru. Bersesuaian dengan sajak mahaguru yang berbunyi
Seni Gayong seni pusaka
Dipimpin oleh putera negara
Supaya dapat taat setia
Amanah guru harus dijaga
Siapakah putera Negara yang dimaksudkan? Mereka ialah Hang Tuah, putera kepada Nai Hisbu Muadzam Shah. Mereka ialah Sultan Muzaffar III, putera kepada Syariff Yang Di Pertuan Abu Bakar Syah. Mereka ialah Panglima Bukit Gantang, putera kepada Sultan Muzaffar III. Mereka ialah Syed Idris, putera kepada Syed Hatta Raja Kayang Indera Sakti.
Foto 4: Lambang Silat Seni Gayong yang menzahirkan semula legasi Merong Maha Wangsa.
Kajian yang mendalam perlu dilakukan untuk mencari dan menggali semula bukti-bukti yang telah digelapkan oleh penjajah. Anak-anak Gayong dari pelbagai cabang ilmu perlu bergabung untuk membongkar misteri legasi ini. Bersesuaian dengan kata mahaguru Dato Meor Abdul Rahman
Kaji sejarah Gayong baru tahu ia pusaka
Kenal masakan tak cinta
Tahu masakan tak pelihara
Pusaka milik kita
Rekaan hanya sementara