Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Showing posts with label Melayu. Show all posts
Showing posts with label Melayu. Show all posts

Tuesday, December 31, 2024

MELAYU HANYA PERLU BERGANTUNG KEPADA ALLAH DAN ATAS USAHA SENDIRI SAHAJA

 

Foto 1: Buku karangan Pendeta Zaaba yang bertajuk "Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri" merupakan sebuah karya yang perlu dibaca oleh Bangsa Melayu.

Buku ini karangan Pendeta Zaaba. Menyentap jiwa Bangsa Melayu yang sejak kebelakangan ini kelihatan semakin melayu. Patut dibaca oleh semua Bangsa Melayu. Kesimpulan ringkas buku ini ialah "Bangsa Melayu hanya perlu bergantung kepada Allah dan atas usaha sendiri". Jangan letakkan pergantungan kepada individu, organisasi, parti politik, pemimpin politik, pemimpin agama, raja dan sultan. 

Pergantungan kepada selain Allah dan diri sendiri akan melemahkan jiwa dan menghilangkan jati diri dan semangat juang. Pergantungan dan kepercayaan yang amat sangat kepada senarai yang disebutkan itu merupakan tragedi kepada Bangsa Melayu apabila dikhianati. Kepercayaan dan kebergantungan ini akan melumpuhkan Bangsa Melayu secara total apabila ianya dikhianati. Patutla Al-Marhum Dato Meor Abdul Rahman, Mahaguru Silat Seni Gayong berpesan,"Trust no one except your mother". Bangsa Melayu perlu bersatu di bawah corak pemikiran ini, dan hanya mengangkat pemimpin yang mempunyai aliran pemikiran yang sama, pemimpin yang haprak perlu ditolak secara total.

ALLAHUSSOMAD

Friday, November 5, 2010

BATAK DAN SIAM PUN MELAYU JUGA... :-)

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24hb. Oktober, 2010 semasa perbahasan Perhimpunan Agong UMNO berhubungkait tentang siapa itu Melayu. Walaupun satu gurauan, ianya satu kebetulan yang cantik kerana Batak dan Siam mempunyai kaitan yang rapat dengan penulis...
Gaya 'anak raja' hidupkan perhimpunan
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Gaya penyampaian Wakil Terengganu, Raja Arif Raja Ali yang seperti 'bersilat' ketika membahaskan usul pendidikan dan agama hari ini mengundang usikan Pengerusi Tetap, Datuk Badruddin Amiruldin.
Apabila Badruddin mengatakan cara beliau berhujah seperti 'bersilat', Raja Arif dengan selamba mengatakan bahawa memang stail 'anak raja' suka bersilat iaitu warisan Melayu.
Jawapannya membuatkan hadirin tergelak dan bertepuk tangan.
Beliau membuat hadirin terus bertepuk apabila menyatakan bahawa masyarakat Batak dan Siam amat gembira apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan mereka juga adalah Melayu.
Raja Arif turut menarik perhatian perwakilan apabila menyatakan bahawa untuk mengetahui sesuatu perkara atau mengenai kehebatan seseorang, maka kena bertanya kepada golongan yang rapat dengannya.
"Kalau mahu tahu luasnya padang, kena tanya belalang. Kalau mahu tahu dalamnya hutan, kena tanya burung puyuh. Kalau mahu tahu panjangnya pantai, kena tanya kepada bebarau dan kalau mahu tahu dalamnya laut, kena tanya ketam.
"Begitu juga kalau mahu tahu hebatnya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, kena tanya isteri beliau yang tercinta. Kita kena tanya Datin Seri (Rosmah Mansor) kerana beliau yang tahu kehebatan Datuk Seri, apa kegemarannya dan apa buku dibacanya," tegasnya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Monday, October 11, 2010

Pangkalan Data Genetik Melayu Bakal Diwujudkan

Tajuk ini merupakan petikan dari Berita Minggu bertarikh 10.10.2010. Secara hipotesisnya adalah dijangkakan bahawa genetik Melayu Kedah, Melayu Kelantan dan Pattani mempunyai persamaan yang ketara kerana ketiga-tiga sub etnik Melayu ini merupakan sub etnik Melayu yang telah digelapkan oleh penjajah iaitu sub etnik Melayu yang bernama SIAM. Kajian yang mendalam amat dialu-alukan untuk mengiya atau menafikan hipotesis ini. Berikut adalah petikan dari akhbar tersebut:

SERDANG: Satu pangkalan data genetik bangsa Melayu akan diwujudkan selepas kajian mengenainya selesai pada 2016. Ketua Projek Pangkalan Data 1Malaysia, Prof Madya Zilfalil Alwi, berkata kajian itu membabitkan pengambilan lebih 200 sampel dan sudah pun dimulakan di bawah program Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Sehingga ini kajian awal bertumpu kepada lapan sub etnik Melayu iaitu Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Jawa, Bugis, Minang, Pattani, Campa dan Banjar. Katanya, maklumat itu penting bagi usaha peningkatan tahap dan kualiti perkhidmatan kesihatan di Malaysia, penyakit berkaitan serta membantu pemberian ubat-ubatan secara individu.

“Variasi genom dalam DNA mempengaruhi kecenderungan penyakit dan tindak balas individu terhadap ubat-ubatan, jangkitan dan vaksin. Hampir 85 peratus penyakit berpunca daripada faktor genetik. Bagaimanapun di Malaysia tidak banyak maklumat mengenainya malah ada doktor perubatan yang tidak mengetahui mengenainya sedangkan ia penting bagi usaha diagnosis dan rawatan khusus untuk penyakit yang dihidapi. Menerusi pangkalan data ini kita boleh mengetahui kecenderungan kumpulan etnik tertentu untuk berhadapan dengan sesetengah penyakit dan kita juga boleh menguruskan penyakit itu dengan baik,” katanya pada majlis pelancaran Pangkalan Data Genom Melayu Kebangsaan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia di sini semalam.