Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Sunday, February 24, 2013

KOTA DAN ISTANA RAJA MELAYU ZAMAN SILAM: BEBERAPA PERSOALAN LOGIK

Jika kita melihat kepada nama tempat yang terdapat di Malaysia, terdapat banyak tempat lama yang menggunakan perkataan KOTA. Kenapakah perkataan kota tersebut digunakan? Adakah saja suka-suka perkataan kota tersebut digunakan? Adakah memang ada sebuah kota di situ pada suatu masa dahulu? Dari apa yang diperhatikan, memang terdapat kota pada kesemua tempat yang menggunakan perkataan kota. Cerita turun temurun masyarakat setempat menjurus kepada kewujudan sesebuah kota bagi setiap nama yang menggunakan perkataan kota. Tetapi kebanyakannya telah lenyap dan diabaikan, diruntuhkan, diratakan, ditimbuskan, ditenggelamkan dan dihilangkan dari pengetahuan umum. Apakah motif sebenar tindakan tersebut, AGENDA siapakah ini?

Foto 1: Binaan batu bata di Sungai Batu, Merbuk Kedah merupakan tapak arkeologi terawal di Asia Tenggara dibina sekitar 100 Masihi. Jika pengetahuan binaan kota batu bata telah wujud pada 100M kenapa di dalam teks sejarah wujud dakwaan kota-kota dahulu dibina dari kayu dan buluh? Hanya setelah kedatangan Portugis kota batu dibina, seolah-olah kita belajar dari pihak penjajah!? Tidak logik jika pada 100M sudah ada binaan batu bata tetapi pada 1500M masih berkotakan kayu.

Foto 2: Peta lama bertarikh 1598 (sumber, Wendy Khadijah Moore, 2011, Malaysia A Pictorial History 1400-2004) menunjukkan kota-kota yang wujud di sepanjang pantai semenanjung tanah air kita. Dimanakah kota-kota tersebut sekarang?

Foto 3: Kampong Kota di Beruas, Perak di mana terdapatnya makam purba raja Melayu yang bernesankan Batu Acheh terukir ayat Al Quran. Kenapa sejarah mainstream menjunjung pengaruh Hindu-Budha di Bruas Gangga Negara, tetapi kisah rajanya yang beragama Islam seolah-olah diketepikan sahaja?

Foto 4: Istana Raja Bersiong di Kepala Batas Alor Star Kedah. Istana yang didakwa asalnya milik Raja Bersiong kemudian diwarisi oleh Tengku Kudin. Lihat sahajalah terbiar dan turut dijadikan tempat pembuangan sampah. Kenapa Kelly Castle dipelihara, tetapi Istana Raja Bersiong ini terbiar hina sebegini rupa?

Foto 5: Gambar ini didakwa sebagai Istana Sultan Ismail di Belanja Perak. Gambar ini berjaya mencetuskan persepsi Melayu itu berdinding buluh dan beratap rumbia. Adakah ini sebenarnya istana atau sekadar tempat persinggahan atau pondok di dalam dusun atau tempat persembunyian ketika diburu penjajah? Jika sememangnya istana tempat bersemayam, bagaimana agaknya kalau gajah baginda yang berpuluh ekor itu  menggeselkan badan pada dinding istana tersebut? Bagaimana agaknya kalau baju besi baginda digantung pada dinding istana tersebut?

Foto 6: Kota Ngah Ibrahim di Matang, Perak. Pernah dijadikan markas oleh Inggeris dan Jepun. Menjadi mahkamah untuk mengadili mereka yang dituduh terlibat dengan pembunuhan J.W. Birch, mungkin disebabkan itu ianya masih kekal tidak diruntuhkan.

Foto 7: Kota Long Jaafar di Bukit Gantang, Perak. Terbiar bersemak tanpa penjagaan rapi. Menurut sejarah mainstream, Long Jaafar merupakan Penghulu Larut yang kaya raya serta kekayaannya itu mengatasi kekayaan Sultan Perak pada ketika itu. Persoalannya, logik kah penghulu lebih kaya dari sultan pada masa tersebut, dan logik kah seorang penghulu memiliki sebuah kota yang dilengkapi dengan meriam?


Foto 8: Kota Kuala Muda, sebahagian kecil sahaja sisa binaan kota yang masih tinggal. Terdedah kepada vandalism dan pencerobohan, diharapkan symbol-simbol yang masih ada dapat kekal untuk tatapan generasi akan datang.

Foto 9: Kota Kuala Kedah, lihatlah keunikan senibinanya. Pernah dijadikan markas Inggeris dan mungkin disebabkan itu ianya selamat dari diruntuhkan sama seperti Kota Ngah Ibrahim yang pernah dijadikan markas Inggeris.

Foto 10: Kota Star, binaan asalnya pernah dirobohkan atas alasan untuk membina Wisma Persekutuan. Logikkah alasan tersebut diberikan dalam masa yang sama Kota A Famosa dipertahankan? Namun begitu replica kota tersebut dibina semula pada tahun 2008 tetapi didapati berlaku sedikit perubahan pada corak ukiran pada kota.

Foto 11: Kota Indera Kayangan, tapak kota telah diratakan dan dijadikan tempat parking kereta untuk pelawat yang berkunjung ke Muzium Kota Indera Kayangan. Logikkah tapak sebuah kota dijadikan tempat parking kereta?

Foto 12: Istana Nagara, foto ini diambil pada 1897 (sumber, Wendy Khadijah Moore, 2011, Malaysia A Pictorial History 1400-2004). Lihat la seni binaannya yang jelas bermotifkan Merong dan Teratai. Telah dirobohkan pada 1930 dan diganti dengan istana yang baru di atas tapak asal yang kemudiannya dikenali sebangai Istana Iskandariah. Kenapa istana secantik ini dirobohkan, tiada lagikah tapak lain selain dari tapak binaan asal untuk dibina istana baru? Kenapa sejarah mainstream cuba melenyapkan maklumat tentang istana ini? Kenapa istana ini diberi nama Istana Nagara? Nagara manakah yang dimaksudkan?

Banyak lagi kota-kota dan istana lain yang tidak dipaparkan disini, apa yang dipaparkan sebagai bahan untuk dikongsi dan difikirkan bersama. Jika Melayu mempunyai kota maka ini amat bertentangan sekali dengan momokan selama ini apabila Melayu dikaitkan dengan rumah kayu beratap rumbia. Jika Melayu memiliki kota, kemanakah perginya pewaris kota tersebut? Jika pewaris sebenar kota tersebut adalah mereka yang berkuasa sekarang, adalah tidak logik jika mereka yang berkuasa ini membiarkan sahaja kota warisan nenek moyang mereka terabai, dirobohkan dan dilenyapkan begitu sahaja. Jadi siapakah sebenarnya yang empunya dan pewaris sebenar kota-kota tersebut?

Saturday, January 5, 2013

BANGSA RAJA DALAM KEPIMPINAN GAYONG

Foto 1: Imej Hang Tuah di Muzium Negara. Adakah Hang Tuah hanya seorang hulubalang atau laksamana Melaka semata-mata? Adakah beliau seorang putera raja yang akhirnya menjadi seorang Raja?


Perkataan Bangsa Raja ada disebut didalam manuskrip Undang-Undang Kedah (UUK) di muka surat 48. “Demikian lagi jika sama duduk di negeri dipilih pula pada asal keturunan datuk neneknya dan bapanya, jika kecil sekalipun gelarnya orang yang tiada berasal itu lebih juga yang berasal itu. Demikian lagi seperti yang bangsa raja itu, jika miskin sekalipun ia dipertengku dan diperpatik juga, maka duduknya pun ke ataslah kerana ia bangsa raja.”

Jika dilihat di dalam konteks Silat Seni Gayong terdapat juga kelompok yang boleh dikaitkan dengan Bangsa Raja ini. Di dalam 14 rangkap sajak hasil karya oleh mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman terdapat perkataan berkenaan putera-puteri yang boleh dikaitkan dengan Bangsa Raja ini sebanyak 2 kali.

Lembaganya bersih nyawanya suci,
Bersatu (berseru) kepada putera dan puteri,
Agama yang mulia junjunglah tinggi,
Belalah bangsa, adat dan negeri.

Seni Gayong seni pusaka,
Junjung (dipimpin) oleh putera negara,
Supaya digiat taat setia,
Amanah guru harus dijaga.

Di dalam rangkap sajak yang lain terdapat pula perkataan yang menggambarkan sebaliknya iaitu pemuda-pemudi. Kenapa wujudnya kelompok ini?

Seni Gayong sudah terpuji,
Dijunjung oleh seluruh negeri,
Pemuda-pemudi harus pelajari,

Agar Gayong kekal abadi.

Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh mahaguru melalui rangkap-rangkap sajak ini? Pelbagai persepsi dan tafsiran boleh dilakukan, terpulang kepada yang empunya diri khususnya anak gayong untuk memahaminya.

Bagi rangkap sajak yang pertama di atas ianya memaparkan konsep bloodline dan warisan turun temurun yang wujud dalam Seni Gayong. Siapakah “lembaga” itu? Apakah yang bersatu dan yang diserukan itu? Bagi yang tahu dan memahaminya sahaja yang boleh mencerap apa yang telah disuratkan oleh mahaguru. Bagi mereka yang tidak mahu memahaminya akan mencari pelbagai alasan yang bersifat nafi.

Lihat pula rangkap kedua yang jelas maksudnya mengenai kepimpinan gayong. Seni Gayong ialah seni pusaka turun temurun yang dipimpin oleh putera negara. Siapakah putera negara yang dimaksudkan. Jika gayong itu ilmu warisan Tuah, adakah Tuah juga putera negara? Tuah yang kita ketahui selama ini melalui sejarah mainstream yang ditulis penjajah ialah hulubalang dan laksamana Melaka sahaja. Jadi sajak ini tidak releven sama sekali. Tetapi itu sejarah yang ditulis penjajah dan talibarutnya. Bagaimana dengan tulisan dan pandangan alternative mengenai Tuah dari mereka yang mendakwa mempunyai salasilah turun temurun? Dakwaan? Sesiapa sahaja boleh mendakwa dia keturunan raja dan sebagainya. Biarlah. Yang penting setiap dakwaan perlukan bukti dan fakta sahih yang boleh diterima lojik akal. Apa yang penulis ingin kemukakan ialah pandangan yang berasaskan dakwaan dari Almarhum Nai Long Kasim waris mutlak keturunan Yang Dipertuan Kedah Tua dan Merong Maha Wangsa. Siapakah putera Negara yang dimaksudkan? Mereka ialah Hang Tuah, putera kepada Nai Hisbu Muadzam Shah. Mereka ialah Sultan Muzaffar III, putera kepada Syariff Yang Di Pertuan Abu Bakar Syah. Mereka ialah Panglima Bukit Gantang, putera kepada Sultan Muzaffar III. Mereka ialah Syed Hatta, juga putera kepada Sultan Muzaffar III. Mereka ialah Syed Idris, putera kepada Syed Hatta Raja Kayang Indera Sakti. Mereka ialah Syed Zainal, putera kepada Syed Idris Raja Kota Star. Bloodline Tuah diwarisi oleh mahaguru melalui Sultan Muzaffar III yang merupakan cicit Tuah.


Rangkap sajak yang ketiga pula membawa maksud pemuda-pemudi haruslah mempelajari Seni Gayong sebagai ilmu beladiri supaya warisan ini tidak hilang ditelan zaman. Belajar dan carilah segala ilmu Gayong yang ada sebanyak dan semampu yang mungkin. Siapakah pemuda-pemudi? Berdasarkan paparan sajak-sajak di atas pemuda-pemudi adalah di dalam kelompok yang berbeza dengan putera-puteri. Yang membezakannya ialah bloodline, darah dan DNA yang wujud di dalam empunya diri. Tulisan ini bukanlah bermatlamat mewujudkan kasta dan darjat dalam Silat Seni Gayong, tetapi hanya lontaran persepsi bagi yang ingin berfikir supaya bertambah pemahaman dan pengetahuan dan bertambah keyakinan terhadap apa yang dipelajari dan diwarisi. Faktor DNA adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan dan boleh dibuktikan secara saintifik. Walaubagaimanapun, semua itu tertakluk kepada Iradat Allah s.w.t, “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di antara kamu” [Al Hujurat :13]