Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Sunday, December 31, 2023

NAMA ASAL SUNGAI MERBOK IALAH SUNGAI BABUR?

Sungai Merbok merupakan sungai yang terdapat di negeri Kedah Darul Aman. Sungai yang penuh dengan tinggalan dan peristiwa bersejarah serta penuh dengan misteri yang belum terungkap. Menurut buku Sejarah Kedah yang ditulis oleh Haji Buyong Adil (DBP, 1980) nama asal Sungai Merbok ialah Sungai Babur. Bagi sesetengah orang pertukaran nama bukanlah suatu isu yang besar dan ianya perlu dilakukan mengikut peredaran masa dan zaman. Namun bagi pengkaji sejarah realiti, penukaran nama sungai, tempat, makam dan sebagainya merupakan satu gerakan terancang untuk melenyapkan sejarah di sebalik nama asal tersebut.  

Menurut pengkaji sejarah realiti nama Babur merupakan satu watak penting yang telah dilenyapkan dalam sejarah tanahair. Siapakah Babur? Babur di sini merujuk kepada nama pengasas empayar Mughal di India. Hubungan Tanah Melayu dengan Mughal telah dilenyapkan oleh penjajah dan tidak dimasukkan dalam kurikulum sejarah di sekolah. Penjajah dan sekutunya lebih berminat meletakkan pengaruh Hindu, Buddha dan penjarahan Chola kerana ini boleh menghilangkan jatidiri bangsa dan kehebatan silam yang dimiliki. Padahal, kegemilangan India dahulu pon berada di puncaknya ketika pemerintahan Mughal.

Kenapa harus wujud nama Babur di Kedah? Kerana Babur merupakan menantu kepada seorang Raja Besar di Semenanjung Melaka iaitu Sultan Rijaluddin Ibni Sultan Muhammad Johan Shah (yang digelar Parameswara di Melaka dan bergelar Ramathibodi II di Ayutthaya, menurut sejarah mainstream). Tidak hairanlah dahulu Bangsa Melayu mempunyai empayar yang hebat kerana mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Empayar Mughal. Bapa mentua Babur pula merupakan adik ipar kepada Laksamana Cheng Ho dari Dinasti Ming, China. Gabungan Dinasti Ming, China dan Empayar Mughal, India inilah merupakan penyumbang kepada kekuatan dan kehebatan tamadun Melayu zaman silam.

Hebatkan? Jadi, hilangkanlah nama hebat ini supaya kisahnya dibenam dan digelapkan. Perkara ini dilakukan secara terancang supaya bangsa yang dijajah akan terus dijajah, walaupun pada zahirnya telah merdeka, namun minda dan jati diri terus dibelenggu penjajah. Oleh itu, pertukaran nama Sungai Babur kepada Sungai Merbok dilihat sebagai agenda terancang mengubah landscape sejarah tanahair dengan menghilangkan bukti sejarah sebenar demi kepentingan penjajah dan sekutunya. Wallahua’lam.

Imej di atas menunjukkan kedudukan Sungai Merbuk @ Sungai Babur yang mempunyai bukaan muara yang luas dan mampu menerima kemasukan kapal yang mudik ke hulu. Adakah kapal Babur pernah mudik disini lantaran tersebut dinamakan Sungai Babur? 

Saturday, December 31, 2022

KRISIS KEPIMPINAN DI DALAM NEGARA YANG PERNAH DIJAJAH

Krisis kepimpinan merupakan satu masalah besar kepada sebuah negara, terutamanya bagi sebuah negara yang pernah dijajah. Jika difikir secara logik, adakah penjajah ingin melepaskan sahaja negara yang dijajah tanpa memberi manfaat kepada mereka. Sudah tentu kemerdekaan diberikan kepada negara yang dijajah namun penjajah masih mendapat manfaat dari negara tersebut. Hubungan diplomatik antara negara yang dijajah dengan penjajah mestilah dipelihara untuk negara penjajah kekal mendapatkan manfaat dari negara yang dijajah. Persoalannya, bagaimana hubungan tersebut boleh terpelihara dengan baik? Jawapannya, meninggalkan legasi kepimpinan negara kepada mereka yang mempunyai kecenderungan kepada bekas penjajah. Kepimpinan ini yang disebut sebagai Puppet Leadership atau Kepimpinan Boneka. 

“Puppet leaders, as the metaphor implies, are individuals in positions of authority and responsibility who are put in place and controlled by other people in positions of real power”

Petikan: Dennis R. Young, Puppet Leadership: An Essay in honor of Gabor Hegyesi, Georgia State University, 2008.

Berdasarkan petikan dan pemahaman yang diperolehi darinya adalah tidak menghairankan kebanyakan negara yang dijajah menghadapi masalah krisis kepimpinan. Keadaan yang berlaku seolah-olah di negara tersebut tiada lansung mereka yang layak memimpin dan kepimpinan yang naik kelihatan tidak mampu untuk menyelesaikan masalah. Masalah yang berulang sentiasa berlaku tanpa penyelesaian. Persoalannya kenapa mereka yang sedemikian sahaja yang menjadi pemimpin? Jawapannya, mereka mendapat sokongan strategik dari pihak yang mempunyai kepentingan penjajah dan yang bersekutu dengannya. Mana-mana pemimpin yang mempunyai kesedaran untuk membawa perubahan positif kepada negara dan berusaha untuk manfaat agama, bangsa dan negara akan diasak dengan pelbagai cara supaya tiada berpeluang untuk menerajui kepimpinan negara.

Perkara yang sama berlaku bukan sahaja dalam kepimpinan politik negara yang dijajah, ianya turut berlaku dalam kepimpinan awam yang menjadi penggerak jentera kerajaan. Mereka akan memastikan juga kepimpinan awam diterajui oleh mereka yang mampu menurut telunjuk Puppet Master. Perkara ini dilakukan supaya negara yang “merdeka” tersebut akan kekal bergantung kepada negara penjajah yang masih mempunyai kepentingan terhadap negara bekas jajahannya.


Petikan kata-kata Alexander The Great di atas memberikan gambaran yang jelas. Penjajah akan memastikan negara yang dijajah terus dipimpin oleh “Sheep”. Mereka akan memastikan tiada “Lion” yang berpeluang untuk menerajui kepimpinan negara yang pernah mereka jajah.

Kesimpulannya krisis kepimpinan akan terus berlaku di negara jajahan sehinggalah ada “Lion” yang mampu mengambil alih kepimpinan negara dari dipimpin oleh para “Sheep”. Yang pastinya “Lion” tersebut akan berdepan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran dari dalam dan luar negara dalam menongkah arus ke puncak kepimpinan negara. Wallahua'lam.


Wednesday, December 2, 2020

SULTAN ISTANBUL, RAJA SIAM DAN MAHARAJA CHINA DALAM SATU PAKATAN MENENTANG PENJAJAH KULIT PUTIH DAN MENYEBARKAN ISLAM KE SELURUH DUNIA?

Foto 1: Petikan dari buku bertajuk “Bush-Whacking and Other Asiatic Tales and Memories” ditulis oleh Sir Hugh Clifford terbitan 1929.

Merujuk kepada petikan tersebut bolehlah diterjemahkan sebagai “Adalah dibayangkan Sultan Stambul, Raja Siam, Maharaja China, dan raja lain yang terkait dengan tradisi Melayu, hingga Raja Burung (Maharaja Mughal) sendiri, bersekutu dengan pemberontak untuk mengusir orang kulit putih dari tanahair ini, dan menyebarkan ajaran Islam  ke seluruh dunia”.

Jika skop pemikiran kita hanya berkisar kepada aliran sejarah arus perdana secara 100% sudah pasti sukar untuk kita membayangkan suasana yang berlaku ketika itu. Bagaimana Raja Siam dan Maharaja China yang dikatakan kafir oleh arus perdana itu boleh bersama-sama menentang penjajah kulit putih dan berusaha menyebarkan Islam ke seluruh dunia? Namun begitu bagi pendokong Sejarah Realiti Nagara Kedah yang merupakan wacana alternatif sejarah negara, petikan ini boleh difahami dan secara tidak lansung menyokong dakwaan mereka selama ini. Mereka yakin bahawa dalam penipuan sejarah pasti ada lompongnya, dan petikan ini merupakan lompong yang selari dengan pemikiran mereka. Sejarah warisan turun temurun ini menyatakan bahawa Raja Siam Ayutthaya itu Islam dan mereka mempunyai ikatan persaudaraan melalui perkahwinan dengan Maharaja Mughal di India dan Maharaja China.

Melalui petikan yang sama juga di dalam kertas kerja bertajuk “Daulah Uthmaniyah dan Pengaruhnya Ke atas Masyarakat Melayu” ditulis oleh Prof Dato Dr Mohammad Redzuan Othman, menyatakan “Faktor agama menjadi tunjang dalam penentangan masyarakat tempatan terhadap penjajah. Hugh Clifford yang terlibat menghapuskan kebangkitan pejuang Pahang, mengemukakan pandangan beliau bahawa orang Islam saling bantu membantu dan agama Islam berperanan dalam menyatukan umatnya untuk menentang penjajah (kafir)”.

Jika kita menyelami suasana ketika itu Raja Siam yang dimaksudkan ialah waris Raja Siam Ayutthaya yang meneruskan penentangan menentang penjajah setelah kejatuhan Ayutthaya pada tahun 1767. Waris Raja Siam Ayutthaya ini diburu oleh Raja Thai Chakri, Inggeris dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah demi mendapatkan pengiktirafan kuasa dari Raja Thai Chakri dan Inggeris. Maka tidak hairanlah jika Raja Thai Chakri tidak menamakan Siamland tetapi menggunakan nama Thailand untuk Negara Gajah Putih moden. Begitu juga jika kita memahami perkara yang sebenar kita juga tidak hairan kenapa Mat Kilau menggunakan nama Mat Siam. Siam merupakan sub-etnik Melayu yang digambarkan amat teruk dalam penulisan sejarah penjajah dengan label yang menakutkan seperti Siam Perut Hijau yang amat kejam dan label itu diterima sehingga kini oleh masyarakat Melayu. Siam perlu dilenyapkan oleh Raja Thai Chakri, Inggeris dan yang bersekongkol dengan mereka kerana Siam itu menyimpan rahsia kuasa pemerintahan di Nusantara ini. Ianya merupakan sejarah yang digelapkan secara terancang demi menutup sesuatu yang amat digeruni oleh musuh Islam. Wallahua’lam.

                                                Foto 2: Sir Hugh Clifford (foto dari wikipedia)

Nota: Siapakan Hugh Clifford? Beliau dilahirkan pada 5 Mac 1866, mendapat pendidikan di Woburn Park Britain dan menghabiskan sebahagian besar daripada usianya berkhidmat di Semenanjung Tanah Melayu. Pada 21 Sept 1883 berkhidmat di Kuala Kangsar, Perak. Seterusnya pada tahun 1887 dihantar ke Pahang dan dilantik sebagai Pemangku Agen Gabenor (1887-1888), Superitendan Ulu Pahang (1889-1890) dan Pemangku Residen British (1890-1896). Hugh Clifford memainkan peranan penting dalam menangani pemberontakan terhadap British yang diketuai oleh Dato Bahaman. Pada Julai 1896 beliau dilantik sebagai Residen Pahang.