Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Tuesday, May 24, 2011

MURAL GAYONG: JAWAPAN DARI JABATAN WARISAN NEGARA

Terimakasih diucapkan kepada Tuan Syed Khalid Syed Ali, Pengarah Bahagian Pendaftaran dan Penguatkuasaan, Jabatan Warisan Negara kerana telah menjawab persoalan yang dikemukakan. Di sini saya siarkan jawapan tersebut supaya mendapat reaksi positif dari semua pihak terutamanya exco PSSGM dan keseluruhan anak Gayong. Mungkin perkara ini boleh diwar-warkan kepada Imam Khalifah Agong PSSGM iaitu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan seterusnya klaus status Warisan Kebangsaan yang disytiharkan oleh YB Menteri boleh diguna pakai.

Assalamualaikum WarahmatulLah,

Saudara Husaini bin Salleh,

Terima kasih atas pertanyaan tuan mengenai mural/tapak rumah Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman.

Dimaklumkan bahawa Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) berperanan bagi memelihara dan memulihara apa-apa warisan kebudayaan dan warisan semulajadi samada dalam bentuk ketara mahupun tidak ketara agar terus dimertabatkan. Dalam usaha tersebut Akta memberi penjelasan yang jelas terhadap kriteria pemilihan sesuatu butiran samada boleh dipertimbangkan untuk diangkat sebagai Warisan atau Warisan Kebangsaan. Ini bermaksud ada dua status warisan yang dikenali secara generik dalam peruntukan Akta . Pertama status Warisan yang disytiharkan oleh Pesuruhjaya Warisan dan kedua status Warisan Kebangsaan yang disytiharkan oleh YB Menteri. Apa-apa butiran warisan yang disenaraikan akan dibuat penyelidikan untuk melihat kepentingannya berdasarkan sembilan kriteria yang telah ditetapkan di bawah seksyen 67 Akta ataubagi maksud pertanyaan tuan mural dan rumah tersebut boleh diklasifikasikan untuk diteliti samada memenuhi maksud sebagai warisan kebudayaan yang penting dalam tafsiran Akta.

Sayugia dimaklumkan bahawa peruntukan Akta dalam memilih mana-mana butiran warisan kebudayaan untuk diangkat sebagai Warisan terlebih dahulu perlu melihat kepentingan nilai dan keasliannya. Ini bermaksud sekiranya mana-mana butiran kebudayaan mempunyai samada nilai estetik, arkeologi, senibina, kebudayaan, sejarah, saintifik, sosial, spiritual, linguistik atau teknologi boleh dipertimbangkan untuk diangkat sebagai Warisan. Namun kepentingan nilai tersebut harus dilihat sebagai nilai keseluruhan masyarakat Malaysia atau mempunyai pengaruh pada suatu kelompok besar seperti ras yang menjadi pelengkap sebuah masyarakat Malaysia. Dengan kata lain keaslian dan nilai sesuatu butiran bersemangatkan latar belakang sebuah negara bangsa Malaysia, kerana butiran yang diangkat akan diwartakan dan didaftarkan dalam Daftar Warisan Kebangsaan yang secara langsung memberikan impak perundangan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan Warisan agar keberadaannya terus dipertahankan.

Merujuk pada mural dan rumah yang menjadi ikon penting pada persaudaraan PSSGM, secara dasarnya dapat saya lihatianya merupakan suatu yang penting dalam satu kelompok/kumpulan silat iaitu PSSGM yang mungkin merungkai rahsia suatu perlambangan yang menjadi simbol jati diri anak gayung. Jabatan Warisan Negara telahpun mengangkat dan mewartakan Silat sebagai Warisan malah telah diangkat juga sebagai Warisan Kebangsaan. Silat secara umum sebagai seni bela diri, falsafah, nilai akal budi, jati diri serta kehidupan bangsa Melayu dan diperluaskan lagi dalam pelbagai genre merupakan dokumentasi yang sedang diusahakan oleh Jabatan Warisan Negara.

Oleh demikian, dicadangkan mural dan rumah Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman bolehlah cuba diselamatkan dengan usaha PSSGM sendiri, untuk mengangkatnya sebagai Warisan tanpa menafikan kepentinganya kepada PSSGM tidak termasuk dalam hasrat yang didukung oleh Akta 645. 

Moga jawapan ini menjawab persolan saudara. Sekian. Terima kasih                

4 comments:

  1. assalamualaikum husaini...

    ini sebenarnya berita sedih. mural dan rumah allahyarham dato meor ni nampaknya tunggu dia runtuh sendirilah tu.mungkin lepas tu adalah org dekat dtg mai tolong. ceh mcm cerita ultraman pulak.

    sikap jab. warisan ni sungguh mengecewakan dan agak lepas tangan. walau mcmana pun tahniah atas usha anta dan apa2 pun allah akan menganjari atas keperihatinan anta ttg warisan bangsa dgn ganjaran yg besar d sisinya.

    ReplyDelete
  2. wslm,
    memang sedih, tp nak buat mcmana PSSGM sendiri pon x boleh handle. Mungkin isu mural ni boleh menyatukan Gayong. Sy pon skrg x pasti apa yg telah berlaku pada mural tersebut pada ketika ini, kalu ada mana2 anak Gayong yg tahu boleh tolong update.. Sy amat berharap agar mereka yg ada kuasa dlm PSSGM tidak lepas tangan dlm perkara sepenting ini, jgn pula menjadi pagar yg memakan padi..

    ReplyDelete
  3. sayang betul... banyak makna tersirat dan maklumat yang almarhum dato' dulu nak sampaikan melalui mural ni pada anak2 gayong sekelian... tapi dengan kehendak Allah... semuanya berlaku...

    ReplyDelete
  4. mana Najib..KHALIFAH GAYONG..xkan tgk saja

    ReplyDelete