Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Tuesday, February 21, 2012

KENAPA TUJUH (7)?

Foto 1: Nombor TUJUH (7) yang penuh misteri dan mempunyai nilai mistik yang tinggi.
Tujuh merupakan nombor unik yang mempunyai nilai mistik yang tertentu. Nilai yang membawa maksud Totality and Perfection atau Sempurna Secukupnya. Maksud yang dibawa tersebut amat bergantung kepada gabungan nombor yang menghasilkan nilai 7 tersebut. Di dalam dunia persilatan nilai 7 yang dibentuk dari gabungan 3 dan 4 merupakan kombinasi yang membawa maksud Totality and perfection tersebut. 3 dan 4 merupakan dua nombor yang membawa nilai ekstrem masing-masing dan apabila digabungkan menjadi sempurna secukupnya. Nilai ekstrem ini mewakili gabungan seperti berikut: atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang, zahir-batin, baik-buruk, lama-baru, awal-akhir dan lain-lain yang mempunyai maksud yang berlawanan. Asas kepada nombor tersebut meminjam dari nama dua hulubalang terkenal Melayu iaitu TUAH (TA.WAU.ALIF.HA) yang mengandungi 4 huruf dan JEBAT (JIM.BA.TA) yang mempunyai 3 huruf. Kedua hulubalang tersebut mempunyai nilai ekstrem yang ketara yang saling melengkapi antara satu sama lain. Nilai tujuh ini bukanlah satu kebetulan atau pun direka-reka supaya nilainya sebegitu rupa, tetapi ia menzahirkan kebenaran kepada sesuatu perkara yang melangkaui pemikiran manusia dan memerlukan pemahaman secara mistik.
Dalam aliran persilatan seperti  yang terdapat dalam Silat Seni Gayong, nilai 7 merupakan sesuatu yang lumrah kerana terlalu banyaknya factor 7 yang terkandung dalam ilmu persilatan tersebut. Bagi mereka yang menjadi pengamalnya maka perkara ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika mereka memahaminya, namun begitu mungkin ada juga segelintir yang tidak begitu memahaminya dan memandang remeh perkara tersebut. Sikap memandang remeh perkara ini kadang-kadang boleh membawa kepada tindakan dan perkataan yang tidak selari dengan falsafah dan ilmu Gayong yang dibawa oleh Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman (DMAR).
Jika dilihat kepada komponen pelajaran Silat Seni Gayong, konsep sempurna secukupnya dipamerkan dalam 7 komponen utama iaitu:
1.       Tapak Gayong-kaedah menanti serangan
2.       Pecahan Tapak-kaedah mengelak dan melakukan serangan
3.       Seni Simbat-kaedah menetak dan melibas
4.       Seni Keris-kaedah menikam
5.       Seni Cindai-kaedah melilit dan menjerut
6.       Seni Yoi-kaedah bersilat ditempat berlumpur
7.       Seni Belian-kaedah harimau mengoyak mangsa
Kesempurnaan secukupnya boleh dilihat dan difikirkan sendiri kerana jika seorang pesilat itu menguasai kemahiran ke tujuh-tujuh komponen tersebut pastilah ia mampu bersilat dalam apa jua keadaan dan boleh menggunakan apa jua senjata. Secara tersirat kesemua komponen tersebut wujud pada batang tubuh pesilat itu sendiri.
Atas dasar kesempurnaan secukupnya jugalah maka peringkat tertinggi dalam ilmu Gayong dizahirkan dalam bengkung Mahaguru yang bercula 7. Hanya mahaguru sahaja yang layak memakai bengkung hitam cula 7 kerana dalam konteks Silat Seni Gayong hanya beliau sahaja yang memiliki kesempurnaan secukupnya akan ilmu tersebut, dan tiada makhluk lain yang lebih faham dan tahu akan ilmu tersebut melainkan beliau sendiri. Itulah antara maksud tersirat terhadap bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti Tujuh yang dipakai oleh Mahaguru.
Seperti yang diperkatakan di atas tadi, gabungan nilai ekstrem yang membentuk 7 mempunyai maksud tersirat yang mendalam. Jika ada tujuh murid Gayong yang terawal sudah pasti wujud tujuh murid Gayong yang terakhir. Perkara ini dibangkitkan kerana sudah tiba masanya setelah disimpan selama hampir 21 tahun sebagai satu perkongsian ilmu untuk difikirkan bersama. Kisah ini cuba diringkaskan supaya perkara yang menjadi rahsia biarlah kekal sebagai rahsia. Kisahnya begini;
Kira-kira 21 tahun yang lalu empat orang pemuda telah berpakat untuk ke Ayer Kuning. Tujuan utama sebagai memenuhi jemputan Mahaguru ketika pertemuan dengan beliau di rumah Cikgu Md Khiyar di Kajang pada 21hb Februari 1991 supaya ke Taiping untuk mempelajari Seni Cindai. Mereka berempat sebenarnya masih mentah dalam Gayong tetapi rezeki yang datang tidak harus ditolak. Kemudian adik salah seorang pemuda telah ingin turut serta sekali kerana untuk diperlimau tapakkan di Taiping. Beberapa hari sebelum bertolak ke Taiping rancangan ini telah diketahui oleh dua orang lagi dan mereka juga telah menyatakan hasrat untuk ke Taiping. Jadi cukupla 7 orang kesemuanya yang pergi ke Ayer Kuning ketika itu.
Sesampai di Ayer Kuning, ketujuh mereka telah bertemu terlebih dahulu dengan Cikgu Khalsom (CK) dan memaklumkan hasrat dan tujuan. CK berkata “jika Dato’ yang jemput, maka elokla berjumpa Dato’ terlebih dahulu, tapi Dato’ amat uzur sekarang, jika Dato’ tidur biarkan dia, jangan kacau..” ujar CK. Ketujuh mereka pon pergi kebilik DMAR yang sedang berbaring di atas katil. Beliau sedang berbaring sambil jari jemarinya bercantum antara satu sama lain. Matanya sayup memandang ke atas siling. Mereka bertujuh sebenarnya berasa gementar dan serba salah juga melihat keadaan DMAR tersebut, tapi diberanikan juga, seorang yang lebih senior telah memberi salam kepada DMAR sebagai pembuka bicara. Salam tersebut dijawab oleh DMAR, dan semua mereka berasa lega dan tersenyum sendiri. “Hangpa mai dari mana?” Tanya DMAR. “Dari Selangor Dato’”, jawab yang senior. “Hangpa mai berapa orang?” Tanya lagi DMAR dan masih dalam keadaan asal beliau tanpa bergerak diperbaringan. Masing-masing memandang dan mula mengira. “Tujuh Dato’”, jawab mereka hampir serentak. “Tujuh!” balas DMAR secara ringkas dan beliau bingkas bangun dari perbaringan. Masing-masing terkejut melihat DMAR bangun secara tiba-tiba tersebut. Bermula dari detik itu DMAR mula bertanya, bercerita, menurunkan petua, mentera dan rahsia hulubalang kepada mereka bertujuh. Ada masanya beliau bangun berdiri dan kemudian duduk semula. Semangat seorang Mahaguru amat terserlah kerana dalam keadaan uzur pon beliau tetap kelihatan gagah apabila bercerita tentang ilmu Gayong. Beberapa kali juga Datin Faridah menjengok dan menegur DMAR, “Sudahla tu Dato’, tak payahla perturunkan banyak-banyak kat depa tu, nanti dah dapat depa tak mai dah..”. DMAR hanya tersenyum sahaja dengan teguran Datin. Setelah beberapa lama akhirnya DMAR telah menjanjikan sesuatu kepada mereka bertujuh. Kemudian keizinan untuk mempelajari Seni Cindai telah diberikan. Setelah selesai mempelajari Seni Cindai dari Cikgu Mat Yazi dan CK mereka bertujuh pon bersiap untuk pulang. Sebelum pulang sekali lagi bertemu DMAR. Semasa pertemuan itu DMAR sendiri berkata” Mai sini ambik gambaq dengan Dato’, tak pa duduk sini sekali”, sambil menepuk tangannya ke atas tilam. Mereka bertujuh cuba duduk di atas tilam sebagai mematuhi arahan DMAR, tetapi memandangkan katil sudah berkeriuk bunyinya maka tiga orang lagi berdiri di sisi katil. Gambar tersebut dirakamkan oleh Sheera anak angkat DMAR yang paling muda. Kemudian mereka pon pulang dengan hati yang berat kerana memandangkan keuzuran DMAR ketika itu.
Ketika pertemuan dengan CK semasa hari pengkebumian jenazah DMAR, CK memberitahu bahawa setelah ketujuh mereka pulang, DMAR telah memanggil CK dan kemudiannya menyerahkan cincin yang dipakai beliau kepada CK. “Som, hg pakailah cincin ini dan jagala elok-elok”. Itulah kata-kata DMAR kepada CK yang menyebabkan keluarnya airmata kesedihan dan kegusaran. “Dato’ macam dah tau saat dia dah tiba”, ujar CK. Selepas penyerahan cincin itu Dato' tidak lagi banyak berbicara apabila didatangi orang.
Tujuh yang dinukilkan di sini hanya sekelumit sahaja kerana bicara ini dalam konteks Gayong dan terhad kepada apa yang diperkatakan. Banyak lagi “rahsia terpendam dipurbakala” yang boleh dizahirkan bagi mereka yang ingin tahu dan faham.


Foto 2: Tujuh murid terakhir Dato’ Meor Abdul Rahman? Dari kiri di atas katil: Master, Sri Kandi, DMAR, Dino (belakang DMAR), Uda. Berdiri di sisi katil: Kiyai, Gadek @ Hulubalang 2020 dan Si Komeng. Dimanakah mereka sekarang, membawa haluan masing-masing? Kenapa?
Begitulah kisah yang telah berlaku kira-kira 21 tahun yang lalu. Hebatnya seorang Mahaguru lagenda di zaman moden ini telah dizahirkan oleh DMAR. Masing-masing mempunyai persepsi yang berbeza terhadap apa yang diperturunkan oleh DMAR. Jika tujuh orang maka akan wujud 7 persepsi yang berbeza, begitulah indahnya Gayong kerana Gayong itu HIDUP... Kerana itu dari satu dipecahkan tujuh, dan setiap tujuh itu dipecahkan tujuh.. Secara fitrahnya Gayong itu berpecah, pecahnya Gayong kerana sayang, maka hebatlah mereka yang berjaya mencantumkan Gayong, kerana pada hati mereka itu pasti mengingat Junjungan empunya seru....Wallahua’lam.

15 comments:

  1. melihat gambar ini, saya teringat kenangan lama yang lama,...tetapi benar berlaku. Sengaja sebagai peringatan kepada kita yang mengaku orang Gayong, murid Gayong,...lebih syahdu, murid Mahaguru Meor Abdul Rahman, bahawa suatu yang kita tidak pernah dengar dan tahu atau lama tidak dengar dan ulang, tidak bermakna tidak wujud...banyak perkara yang kita tidak tahu telah berlaku sewaktu DMAR hidup...dan harus perkembangan semasa yg kurang sihat dlm Gayong sekarang memaksa "pemuda2" dalam gambar ini melaksanakan wasiat DMAR dan CK...
    Kerana kata Mahaguru "Tiang yang paling penting dalam tuntutan Ilmu adalah TAAT SETIA yang TAK BERBELAH BAGI".......
    Ketaatan itu adalah satu komponen Sempurna Secukupnya ... + ....
    Jika masing2 kita mempunyai sejarah dan cerita...maka "pemuda2" didalam gambar ini juga mempunyai seribu satu rahsia mereka sendiri yang juga boleh diumumkan.......

    ReplyDelete
  2. Rahsia Gayong juga banyak tersimpan oleh seorang Guru Tua yang pernah minum air ludahan ADMAR, menyempurnakan basuhan qada' hajat ADMAR, meriba kepala jenazah (ADMAR) sepanjang perjalanan dari Ipoh specialist centre ke taiping.......

    ReplyDelete
  3. ..maka bertuahlah, seseorang yang mengetahui sesuatu yang dianggap rahsia oleh orang lain...

    ReplyDelete
  4. silat itu perbuatan...seni itu perbuatan yang hidup dalam perbuatan...dan Gayong itu adalah rahsia....disimpan kerana sayang rosak nilainya...diberi bagi yang layak menyimpannya...hanya KANDUNG yang layak boleh menyimpan KANDI...kerana kalau kandung rosak...maka cederalah Kandi...bak kata pantun
    Seni Cindai pusaka purba, sudah diukur baru dipakai...kalau Tuan cacat cedera, tidak boleh Tuan memakai...sayang, harus sekarang ini ramai sudah yang "cacat cedera" perjalanan bathin dan zahirnya dalam Gayong...maka tidak lagi boleh menjadi Kandung pada Kandi yang suci murni...ramai juga yang melihat puncak perjalanan Gayong itu pada perhiasan yang nampak...sedang hakikat Gayong itu rupanya nun entah di mana lagi....waAllahua'lam.

    ReplyDelete
  5. Bukan ka cikgu husaini sendiri merupakan slh seorang drpd mereka bertujuh? terkejut jgk sy apabila mmbaca blog ini yg tahu kisah tntg 7 murid terakhir ADMAR dan jga tntg cerita Cikgu md khiyar yg mngajar di sekitar kajang dan bngi. saya suka dengan satu ungkapan ADMAR sendiri.

    Perpecahan gayong perpecahan sayang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anon 05:44, buat masa ini cukupla gambar tersebut menceritakan segalanya. Dari 7 org murid itu, 3 berdiri dan 4 duduk.. 3 tidak kelihatan dgn jelas mukanya, 4 kelihatan dgn jelas mukanya..

      Delete
  6. Assalamualaikum...

    Alhamdulillah dan jazakallah kepada saudara Husaini kerana menulis artikel kenapa tujuh ini. Ini kali pertama hamba temui blog saudara dan artikel 7 yg saudara paparkan walaupun ringkas tapi mempunyai kesan yang kuat hingga dapat membangkitkan 'Qi' hamba.

    Mohon maaf, disini hamba ingin sentuh tentang nombor 7. Sekarang zaman kebangkitan Islam dan benih kebangkitan yang telah disemai oleh Saad bin Abi Waqas di 'NUSANTARA' sejak zaman Rasulullah s.a.w. telah mula mengeluarkan bunga dan sedang mulai berputik, insyaAllah sedikit masa lagi akan menghasilkan buah yang sangat elok dan sempurna.

    Cuba sama-sama kita renungkan dan fikirkan 'dari 1 biji benih, hasilkan 7 tangkai, dari 7 tangkai keluar 100 biji benih' maknanya dari 1 biji benih keluar 700 biji benih lagi. Berapakah biji benih yang telah di semai oleh sahabat Rasulullah s.a.w. di nusantara in? Benih apakah yang telah ditanam oleh sahabat Rasululah s.a.w.?

    Sekian wassalam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikum salam, mungking kita boleh melihat perkembangan benih tersebut mengikut period abad, bermula disemai pada abad ke-7, berbunga mekar pd abad ke-14 dan berbuah ranum pada abad ke-21. wallahua'lam.

      Delete
  7. pemimpin gayong skrg rmi gila sandang..pngkat..tp amnah x buat..org muda mcm sy x tau nk rujuk sape..mmg itu yg terjadi..

    ReplyDelete
  8. Benar..umpama mencari permata diantara kaca.. Namum permata tetap memancar cahaya pd mereka yg mengenalinya..

    ReplyDelete
  9. Tujuan anak muda masuk bersilat bukan untuk terlibat dengan masalah pertubuhan, tp untuk mencari ilmu bekalan diri.. kebanyakan guru2 lebih mengajar kepada arah pentadbiran pertubuhan, bukan itu yang kami mahukan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul, kebanyakan mengajar lebih kepada masalah penadbiran.Kami golongan muda lebih berminat kepada bersilat.. Kami sanggup bayar yuran, asalkan dpt ilmu yg betul.. Tolong jd profesional ckt

      Delete
  10. Sayalah srikandi tu dan masih lagi aktif dalam gayong. Hanya saiful aje saya ada jumpa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tahniah kerana masih lagi aktif.. teruskan perjuangan

      Delete
  11. Assalamulaikum. Lama benar kita tak berjumpa. Kalau dengar majlis silat anjuran PSSGM wilayah persekutuan jemputlah datang. Cari saya yang bernama fiza. Bawalah rakan2 SEGAYONG yang lain. Alhamdulillah, saya dah pernah berjumpa saiful beberapa kali.

    Ketika dulu, Sani & Saiful hebat bersilat dan berdemo.

    ReplyDelete