Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Saturday, February 19, 2011

MASJID KRISEK: BUKTI HANG TUAH ITU NARAI @ ISKANDAR MAHKOTA ALAM

In 1578, Lim Tao Khiam came to Patani with his fleet. What happened, as told by the people of Patani, were, ‘During the Ming Dynasty, Lim Tao Khiam arrived with his fleet, fought and occupied the city. The King seeing the warrior in Tao Khiam, took Tao Khiam in as son in law as a result  Tao Khiam embraced Islamic faith, settled down in Patani, and never thought of returning to China again. (Kelantan and Chinese Kelantanese, Wee Khoon Hock, 1987)
Masjid Krisik di Patani merupakan sebuah masjid lama dan masih diguna untuk pelbagai aktiviti masyarakat Islam di sana. Apa yang menarik di sini ialah masjid ini juga dikenali sebagai masjid Hang Tuah kerana pernah digunakan oleh Hang Tuah pada masa dahulu. Masjid ini telah dibina oleh seorang pedagang China bernama Lim Tao Khiam. Jika diperhatikan dari petikan di atas bahawa Lim Tao Khiam telah datang ke Patani pada 1578M. Pembinaan masjid ini sudah semestinya paling awal dibina pada 1578M. Ini bermakna sebelum 1578M tiada lagi masjid ini dan bagaimana pula dakwaan mengatakan Hang Tuah pernah menggunakan masjid ini sekiranya beliau hidup pada zaman 1400-1500M ? Peristiwa ini hanya benar jika Hang Tuah yang dimaksudkan itu ialah Narai yang pernah menjadi Maharaja Ayuttaya (1656-1688M). Dapat diperjelaskan di sini bahawa secara tidak langsung Masjid Krisek telah membuktikan Hang Tuah yang sebenar ialah dari jurai keturunan Merong Maha Wangsa. Manakala Hang Tuah yang dipelajari dalam sejarah mainstream selama ini ialah Hang Tuah dari sejarah Melaka ciptaan penjajah dan talibarutnya.
Foto: Masjik Krisek (Krue Se) di Pattani yang dikaitkan dengan Hang Tuah. Menurut penduduk tempatan, Hang Tuah pernah berkampung di masjid tersebut. Dipercayai beliau berada disitu ketika ingin menangkap Raja Bersiong yang melarikan diri. Jika diperhatikan batu bata yang digunakan ialah jenis bata leper seperti di istana Raja Bersiong dan lain-lain binaan kota keturunan Merong Maha Wangsa.

Wednesday, February 16, 2011

ILMU WARISAN HANG TUAH

Hang Tuah ialah seorang pakar tempur terbilang pada suatu masa dahulu. Amat terkenal kerana kehebatan ilmu persilatannya samada di tanah air sendiri atau di luar negara. Ilmu persilatan Hang Tuah ini sebenarnya terdiri dari empat komponen utama yang merangkumi ilmu zahir dan bathin. Empat komponen utama tersebut ialah
i)                    Ibu Gayong, ilmu yang boleh menguasai apa sahaja gerakan persilatan, memahami gerakan musuh dan mampu mematikan gerak.
ii)                   Kipas Nandung, pukulan yang mampu memudaratkan musuh samada pukulan tersebut  menyentuh atau tidak kepada badan musuh.
iii)                 Seni Gedang, ilmu yang boleh mencarik adat kebiasaan bergantung kepada apa yang diingini oleh pengamalnya. Yang kuat menjadi lemah, yang keras menjadi lembik, yang melekat menjadi tertanggal, yang besar menjadi kecil, yang elok menjadi rosak dsb.
iv)                 Bisik Semar, ilmu yang dikategorikan sebagai “pukul sebelum pukul” dan bergantung kepada niat yang ada pada musuh. Musuh yang berniat ingin “memukul” pasti “terpukul”.
Sudah pasti jika seorang pendekar menguasai ilmu ini ia akan menjadi terlalu hebat terhadap musuh-musuhnya. Penguasaan terhadap kesemua ilmu ini memerlukan amalan dan praktik secara menyeluruh zahir dan bathin. Walau sehebat mana seorang pendekar itu, hakikatnya semua yang berlaku di bawah Kudrat dan Iradat Allah Yang Maha Esa.
Foto: Dato Meor Abdul Rahman Mahaguru Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau terkenal dengan ilmu Ibu Gayong dan Kipas Nandung. Pukulan Kipas Nandung telah digunakan oleh beliau ketika menewaskan Bruce Lee di Hong Kong.
Apa yang menarik untuk dikaji ialah ilmu-ilmu ini diwarisi turun temurun oleh jurai keturunan Merong Maha Wangsa. Ilmu yang tidak ada tertulis oleh R.O Winsted, W.G Shellabear, Stamford Raffles dan Munsyi Abdullah. Ilmu ini adalah bukti jelas kewujudan Hang Tuah dan Merong Maha Wangsa. Pengkaji sejarah mainstream yang masih tegar dengan sejarah ciptaan penjajah dan talibarutnya akan terus hanyut dalam kebingungan jika mengenepikan ilmu, kisah dan wasiat turun temurun yang berasas dan mempunyai nilai tersendiri seperti ini.

Saturday, February 12, 2011

MERONG DAN TERATAI DI MASJID KAMPUNG LAUT

Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri Kelantan merupakan salah sebuah Masjid yang tertua di Nusantara. Tapak asal masjid ini sebenarnya di tepi Sungai Kelantan di Kampung Laut, Tumpat. Disebabkan berlakunya hakisan tebing semasa banjir besar yang berlaku pada tahun 1966, dan menyebabkan kerosakan pada struktur masjid ini, ia telah dipindahkan ke Nilam Puri. Masjid ini mempunyai beberapa ciri persamaan dengan Masjid Agong Demak di Jawa yang dibina pada tahun 1401. Para pengkaji juga mempercayai bahawa masjid Kampung Laut ini turut dibina pada tempoh waktu yang sama dengan Masjid Agong Demak.

Foto1: Masjid Kampung Laut di tapak perpindahan Nilam Puri.
Foto2: Motif TERATAI pada hujung bumbung jika dilihat dari bawah.
Foto3: Motif MERONG jika dilihat dari sisi.

Jika dilihat pada kawasan persekitaran dan berhampiran Kota Bharu, terdapatnya sisa Kota Jelasin yang kian lenyap dan terabai. Begitu juga Kota Bukit Pancur yang terdapat sebuah istana lama yang telah dirobohkan pada awal 1960an. Kenapa kota-kota ini terabai dan dirobohkan hanya mereka yang melakukannya sahaja yang mengetahuinya. Di kawasan berhampiran juga terdapat Kampung TUNJUNG yang boleh disama ertikan sebagai TERATAI. Mungkin juga Masjid Kampung Laut ini terpelihara kerana ianya sebuah masjid dan dibina dengan menggunakan kayu, maklumlah imej Melayu yang cuba ditonjolkan ialah berdindingkan kayu dan beratapkan rumbia. Walau apa pun kisah disebalik apa yang berlaku ini, Masjid Kampung Laut secara simboliknya telah meninggalkan satu lagi kesan legasi Merong Maha Wangsa. Simbol-simbol ini bukti kebijaksanaan nenek moyang untuk cucu-cicit memikirkannya.

Thursday, January 20, 2011

TOK MORIS @ TOK MO REH @ SYED IDRIS

Tok Moris ialah seorang pahlawan Kedah yang terkenal. Cerita tentang kehebatan Tok Moris ini diwarisi turun temurun oleh keturunannya yang bertebaran di tanah air ini terutamanya di Kampung Kubur Panjang, Pendang, Kedah Darul Aman. Tok Moris atau Tok Mo Reh ini merupakan singkatan nama Tok Bomoh Idris. Gelaran Tok Bomoh ini merupakan nama penyamaran yang digunakan ketika saat kritikal pasca Perang Musuh Bisik 1821. Nama sebenar beliau ialah Syed Idris yang suatu ketika dulu pernah menjadi Raja Kota Star, Kedah.
Foto1: Pedang milik Wan Darus yang mempunyai hulu yang hampir sama dengan hulu pedang Tok Moris.
Nama penuh Tok Moris menurut urutan salasilah ialah Syed Idris ibni Syed Hatta ibni Sultan Muzaffar III ibni Syarif Abu Bakar Syah ibni Sultan Muhyiddin Mansur Syah ibni Sultan Mahmud ibni Nai Hisbu Muadzam Syah ibni Sultan Zahiruddin Muhammad Syah I (Pengasas Empayar Mughal India). Jika dilihat kepada pedang yang digunakan oleh Tok Moris kelihatan dengan jelas wujudnya pengaruh Mughal dalam reka bentuk pedang tersebut.
Foto 2: (Dari buku The Last Mughal, William Dalrymple) menunjukkan  pahlawan Mughal menggunakan 2 pedang mirip seperti pedang Tok Moris dan Wan Darus. Persoalan mula timbul adakah Tok Moris dan Wan Darus adalah orang yang sama? Idris @ Idrus, Deris @ Derus @ Darus? Persoalan ini hanya berdasarkan pahlawan Mughal di atas menggunakan 2 bilah pedang untuk seorang.
Menurut manuskrip Undang-Undang Kedah ciri-ciri pedang yang dimiliki oleh Tok Moris menggambarkan beliau adalah seorang anak raja. Dan sememangnya gelaran panglima pada masa dahulu juga adalah untuk anak dan putera raja. Anak dan putera raja inilah yang akan mempertahankan ayahanda mereka iaitu raja yang memerintah. Tok Moris merupakan Raja Kota Star yang telah dilantik oleh datuknya Sultan Muzaffar III atau lebih dikenali sebagai Koya Long @ Po Chan @ Raja Kemboja.
Foto 3: Kota Star yang pernah menjadi pusat pentadbiran dan pertahanan di bawah pemerintahan Tok Moris. Dapat dilihat dengan jelas motif Bunga Teratai atau Bunga Tunjung pada pintu gerbang kota tersebut.
Kelompok keturunan Tok Moris yang terdapat di Kampong Kubur Panjang adalah dari jurai isteri pertama beliau iaitu Nai Long Anyai yang merupakan kakak kandung kepada Sultan Jaafar Muadzam Syah ataupun lebih dikenali sekarang ini di dalam sejarah mainstream sebagai Encik Long Jaafar. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan antara sepupu kerana Syed Hatta merupakan adik kepada Syed Alang Alauddin @ Panglima Bukit Gantang. Manakala Panglima Bukit Gantang pula merupakan ayah kepada Long Jaafar. Selain dari Nai Long Anyai ada lagi beberapa orang isteri beliau termasuk salah seorang dari keturunan Cina Manchu.
Pasca Perang Musuh Bisik 1821 memberi tekanan yang amat dahsyat kepada keturunan Merong Maha Wangsa kerana selain dari berperang dengan penjajah British dan Thai mereka berhadapan dengan musuh dalam selimut, duri dalam daging, gunting dalam lipatan dan api dalam sekam dari kaum kerabat yang sanggup bersekongkol dengan penjajah semata-mata mahukan kuasa tanpa maruah. Semasa saat kritikal ini penyamaran dengan pelbagai nama dan karektor dilakukan untuk keselamatan keturunan. British dan Thai amat mudah dikenali tetapi pengkhianat dan talibarut dari bangsa sendiri amat sukar dikenalpasti. Ini adalah perkara lumrah yang juga berlaku kepada Tengku Muhammad Saad, Mat Kilau dan lain-lain yang terpaksa menyamar untuk tidak dikenali oleh pengkhianat dan talibarut penjajah. Pejuang- pejuang ini bukanlah orang kebanyakan tetapi terdiri dari anak atau putera raja dan kerabat yang tidak mahu bersekongkol dengan penjajah.
Legasi perjuangan ini terus diwarisi dan dizahirkan oleh salah seorang anak Tok Moris iaitu Syed Zainal yang juga dikenali sebagai Tok Jenai @ Janai. Tok Jenai ini merupakan datuk dari sebelah ibu kepada Mahaguru Silat Seni Gayong iaitu Dato Meor Abdul Rahman. Dan sesungguhnya Silat Seni Gayong yang dizahirkan oleh Dato Meor Abdul Rahman ini adalah warisan Hang Tuah boleh diperjelaskan melalui salasilah keturunan Merong Maha Wangsa. Titisan darah Hang Tuah sememangnya mengalir dalam tubuh Dato Meor Abdul Rahman kerana beliau ialah cicit kepada Syed Idris, yang merupakan cucu kepada Sultan Muzaffar III, yang merupakan anak kepada Puteri Suryamarin, yang merupakan anak kepada Sultan Langkat @ Tok Pasai, yang merupakan anak kepada Laksamana Hang Tuah @ Tun Saaban @ Narai Maharaja Ayuttaya @ Sultan Iskandar Mahkota Alam Acheh.
Berdasarkan perkara tersebut di atas, tidak hairanlah jika terdapat tari Bunga Teratai atau Bunga Tunjung yang merupakan tari sembah Silat Seni Gayong.  Begitu juga lambang naga dan harimau yang digunakan oleh Silat Seni Gayong menunjukkan satu legasi Merong Maha Wangsa yang dizahirkan oleh mahaguru. Bersesuaian dengan sajak mahaguru yang berbunyi
Seni Gayong seni pusaka
Dipimpin oleh putera negara
Supaya dapat taat setia
Amanah guru harus dijaga
Siapakah putera Negara yang dimaksudkan? Mereka ialah Hang Tuah, putera kepada Nai Hisbu Muadzam Shah. Mereka ialah Sultan Muzaffar III, putera kepada Syariff Yang Di Pertuan Abu Bakar Syah. Mereka ialah Panglima Bukit Gantang, putera kepada Sultan Muzaffar III. Mereka ialah Syed Idris, putera kepada Syed Hatta Raja Kayang Indera Sakti.
Foto 4: Lambang Silat Seni Gayong yang menzahirkan semula legasi Merong Maha Wangsa.
Kajian yang mendalam perlu dilakukan untuk mencari dan menggali semula bukti-bukti yang telah digelapkan oleh penjajah. Anak-anak Gayong dari pelbagai cabang ilmu perlu bergabung untuk membongkar misteri legasi ini. Bersesuaian dengan kata mahaguru Dato Meor Abdul Rahman
Kaji sejarah Gayong baru tahu ia pusaka
Kenal masakan tak cinta
Tahu masakan tak pelihara
Pusaka milik kita
Rekaan hanya sementara

Saturday, January 8, 2011

KOTA NGAH IBRAHIM BENTENG EMPAYAR TERATAI

Kota ini telah dibina di atas permatang pasir yang menjalur utara-selatan. Ia terletak 3.7m di atas paras laut. Sungai Melawati pula memotong permatang pasir di sebelah selatan kota. Kedudukan kota ini adalah strategic di mana ia terletak di persimpangan jalan darat dari selatan, timur dan utara. Hubungan laut melalui Sungai Melawati menghubungkan kota ke Selat Melaka di sebelah barat. Sungai Melawati ini dikatakan telah memainkan peranan penting sebagai pelabuhan dan laluan untuk mengangkut dagangan dari Matang ke Pulau Pinang. (Jurnal Arkeologi Malaysia, 3, 1990)
Foto1: Rumah Ngah Ibrahim yang terdapat di dalam kota tersebut. Kelihatan laluan berbatu yang baru dibina melengkari rumah tersebut. Sesungguhnya laluan berbatu ini boleh menghilangkan suatu SIMBOL YANG TERSEMBUNYI yang amat bermakna.
Foto2: Kelihatan susunan batu bata leper pada tembok kota. Batu bata ini mempunyai persamaan dengan bata di beberapa kota dan binaan yang bertaburan di tanah air ini.
Foto3: Keterangan berkaitan runtuhan tembok kota. Kota ini masih boleh dianggap lebih bernasib baik berbanding kota ayahanda beliau Long Jaafar yang terdapat di Bukit Gantang. Begitu juga apa khabar agaknya kota pertahanan datuk moyang beliau di Kampung Batu Pecah Trong?
Foto4: Plan asal Kota Ngah Ibrahim jika dilihat di udara jelas kelihatan TERATAI yang belum mengembang menjadi satu symbol yang tersembunyi untuk tatapan anak cucu yang mahu berfikir. Satu legasi Merong Maha Wangsa seperti yang terdapat pada kota dan binaan lain yang mempunyai hubungkait dengan Merong Maha Wangsa.

Friday, December 31, 2010

BUNGA TANJUNG ATAU BUNGA TUNJUNG?

Kedua-dua nama bunga tersebut adalah bunga yang berlainan. Namun bagi ahli Silat Seni Gayong yang mempelajari gerak tari sembah Silat Seni Gayong mungkin akan tertanya-tanya kerana ada yang menggelar tari tersebut sebagai tari bunga teratai dan ada yang menggelarnya juga sebagai tari bunga tanjung. Ada juga yang membezakan tari bunga teratai dan tari bunga tanjung. Namun bagi yang mengetahui maksud bagi nama bunga tersebut mungkin akan mengatakan tari bunga teratai atau tari bunga tunjung adalah sama kerana TERATAI dan TUNJUNG boleh merujuk kepada bunga yang sama iaitu LOTUS. Ini secara tidak lansung menjelaskan lagi bahawa Silat Seni Gayong adalah satu legasi persilatan Merong Maha Wangsa.
Foto1: Lakaran tapak langkah mula Tari Bunga Teratai atau Tari Bunga Tunjung dilihat dari depan

Foto2:Jika diperhatikan tapak tari di atas memiliki motif batu aceh atau lambang Kerajaan Kedah Tua yang boleh dilihat pada pintu gerbang Kota Star

Foto3:Lambang Bunga Teratai atau Bunga Tunjung yang mempunyai persamaan dengan Batu Acheh dan Kerajaan Kedah Tua (dalam bulatan) yang terdapat pada pintu gerbang Kota Star (malang sekali kota ini telah dirobohkan oleh orang kita juge...)

Kepada anak-anak Gayong sekalian, peliharalah warisan ini, ianya satu legasi turun temurun yang perlu dipertahankan. Semoga Tari Bunga Teratai atau Tari Bunga Tunjung ini akan terus ditarikan oleh generasi masa depan.

Friday, November 5, 2010

BATAK DAN SIAM PUN MELAYU JUGA... :-)

Petikan dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24hb. Oktober, 2010 semasa perbahasan Perhimpunan Agong UMNO berhubungkait tentang siapa itu Melayu. Walaupun satu gurauan, ianya satu kebetulan yang cantik kerana Batak dan Siam mempunyai kaitan yang rapat dengan penulis...
Gaya 'anak raja' hidupkan perhimpunan
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Gaya penyampaian Wakil Terengganu, Raja Arif Raja Ali yang seperti 'bersilat' ketika membahaskan usul pendidikan dan agama hari ini mengundang usikan Pengerusi Tetap, Datuk Badruddin Amiruldin.
Apabila Badruddin mengatakan cara beliau berhujah seperti 'bersilat', Raja Arif dengan selamba mengatakan bahawa memang stail 'anak raja' suka bersilat iaitu warisan Melayu.
Jawapannya membuatkan hadirin tergelak dan bertepuk tangan.
Beliau membuat hadirin terus bertepuk apabila menyatakan bahawa masyarakat Batak dan Siam amat gembira apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan mereka juga adalah Melayu.
Raja Arif turut menarik perhatian perwakilan apabila menyatakan bahawa untuk mengetahui sesuatu perkara atau mengenai kehebatan seseorang, maka kena bertanya kepada golongan yang rapat dengannya.
"Kalau mahu tahu luasnya padang, kena tanya belalang. Kalau mahu tahu dalamnya hutan, kena tanya burung puyuh. Kalau mahu tahu panjangnya pantai, kena tanya kepada bebarau dan kalau mahu tahu dalamnya laut, kena tanya ketam.
"Begitu juga kalau mahu tahu hebatnya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, kena tanya isteri beliau yang tercinta. Kita kena tanya Datin Seri (Rosmah Mansor) kerana beliau yang tahu kehebatan Datuk Seri, apa kegemarannya dan apa buku dibacanya," tegasnya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.