Carian perkara yang berkaitan dengan blog ini

Wednesday, April 11, 2012

ISTIADAT PERTABALAN YANG DIPERTUAN AGONG KE-14: DAULAT TUANKU!

Foto 1: Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, Yang Di Pertuan Agong yang ke-14 sedang mengucup keris kebesaran kerajaan.



Upacara pertabalan Duli Yang maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke -14 telah berlangsung pada hari ini 11hb April 2012. Majlis yang penuh adat istiadat itu telah berlansung gilang gemilang di Istana Negara yang baru. Ada dua perkara penting yang amat menarik perhatian penulis ketika berlansungnya upacara tersebut.

Perkara pertama ialah pada pertabalan kali ini DYMM telah menghunus dan mencium keris kebesaran kerajaan, perkara yang tidak dilakukan ketika pertabalan ke-13 yang lalu yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Bangsa Raja dan Hulubalang Tua di Tanah Melayu ini. Syabas diucapkan kepada DYMM dan penganjur istiadat kerana mengembali dan mengekalkan budaya perlambangan kekuasaan dan ketuanan Melayu tersebut. Di bawah ini ialah sebahagian sajak yang ditulis oleh Mahaguru Silat Seni Gayong, Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman sebagai renungan untuk semua,

Matahari terbit Palembang Seguntang,
Tanahnya subur ditanam padi,
Keris dihunus, dipegang, dijulang,
Kesatriaan pahlawan timbul kembali.

Gayong emas kendi pusaka,
Bekalan air raja kesakti,
Keris kuhunus langkah kumula,
Bangsa Melayu sudah terpuji.


Perkara kedua ialah berkaitan hubungan emosi dan kerohanian antara Raja dan Rakyat di dalam teks ucapan Memanda Perdana Menteri ketika ucapan menjunjung kasih dan taat setia kebawah Duli Tuanku yang dihubungkaitkan dengan sejarah lampau Merong Maha Wangsa. Perkara ini amat bersesuaian kerana baginda sendiri adalah dari jurai Merong Maha Wangsa melalui nenda baginda iaitu bonda kepada Almarhum Sultan Badlishah.




Foto 2: Memanda YAB Perdana Menteri Malaysia sedang menyampaikan ucapan menjunjung kasih dan taat setia kebawah Duli Tuanku.


Berikut adalah antara petikan ucapan YAB Perdana Menteri tersebut, “...sejak dari zaman Kesultanan Melaka, tempoh sebelum merdeka, membawa kepada mencapai kemerdekaan, telah tersulam kemas sehingga kini dalam perjalanan Malaysia pada era moden, kendatipun pertautan Raja dan Rakyat sedang menelusuri jejak-jejak waktu namun ia kekal relevan mendakap hieraki semasa, benarlah bagai dikata hubungan Raja dan Rakyat terpisah tiada, bagai aur dengan tebing saling melengkapi, ikatan kedua-duanya begitu simbiotik, berputik melalui muafakat bai’ah yang telah terpatri kukuh di Bukit Si Guntang Maha Meru antara Sang Sa Purba dan Demang Lebar Daun serta kisah-kisah dalam Hikayat Merong Maha Wangsa. Selanjutnya lagi tawarikh telah turut membuktikan apabila perhubungan antara keduanya distrukturi keharmonian serta dibajai emosi dan kerohanian yang mendalam maka sebarang apa pun kemelut yang dihadapi negara dapat ditangani dengan jayanya..”

Semoga Malaysia akan terus menjadi negara yang aman makmur dan rakyatnya dilimpahi rezeki di bawah pemerintahan Yang Di Pertuan Agong yang ke-14. DAULAT TUANKU!

Saturday, March 31, 2012

DI MANAKAH LETAKNYA KEHEBATAN LAKSAMANA HANG TUAH?

Foto1: Nujum Pak Belalang yang mewakili Negara Beringin Rendang sedang menjawab soalan dari Dato’ Ahli Nujum Negara Masai
Jika kita menonton cerita Melayu lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjodol Nujum Pak Belalang sudah tentu tajuk persoalan di atas sudah biasa didengar. Apabila ditanya oleh Dato’ Ahli Nujum Negara Masai,“Di mana terletaknya kekuatan Dato’ Laksamana Hang Tuah, di kerisnya kah, di tenaganya kah? Maka Nujum Pak Belalang yang mewakili Negara Beringin Rendang menjawab, “Kekuatan Dato’ Laksamana Hang Tuah bukanlah terletak di kerisnya ataupun di tenaganya. Kekuatan Dato’ Laksamana Hang Tuah adalah terletak pada huruf TA, oleh kerana huruf TA lah yang menguatkan ejaan TUAH, TA.WAU.ALIF.HA... coba huruf TA digantikan dengan huruf BA....?”  Ha, ha.. memang sungguh menghiburkan cerita itu walaupun telah ditonton berpuluh kali. Mungkin ada benarnya jawapan tersebut, tetapi mari kita lihat kehebatan Hang Tuah dari sudut yang lain pula iaitu melihat pada darah keturunannya. Kerana pada darah keturunan inilah terkandungnya Deoxyribo Nucleic Acid (DNA) yang dipuSAKAi turun temurun sebagai satu legasi.
Sudah tentulah semua kita berasal dari Nabi Adam. Topik yang ingin dibawa ini dipermudahkan penyampaiannya supaya bersesuaian dengan kesantaiannya. Titik permulaan dianjakkan dan diambil dari penaklukan Iskandar Zulqarnain di sebelah timur yang meninggalkan zuriatnya sebagai raja-raja penakluk dan pembina kota. Zuriat ini terus berkembang keseluruh pelosok Mongoloid dan China sehinggalah ke zaman Dinasti Tang. Merong Mahawangsa salah seorang cucu Maharaja Sai Tee Tsung telah berkahwin dengan Syarifah Mariam Al-Jefri dan memulakan kerajaan baru di sekitar Gunung Jerai, Kedah. Zuriat ini telah berkembang sehinggalah ke Sultan Rijaluddin yg bergelar Parameswara dan berkahwin dengan adik kepada Laksamana Cheng Ho yang berketurunan Syed Ajjal. Tuanku Aisyah binti Sultan Rijaluddin pula telah berkahwin dengan Sultan Zahiruddin Babur Syah (pengasas empayar Mughal India juga cicit piut kepada Genghis Khan) dan mendapat anak yang bernama Nai Hisbu Muadzam Syah (Raja Kota Beruas Gangga Negara) yang menjadi bapa kepada Hang Tuah.
Foto2: Tokoh-tokoh hebat mengikut silihan masa yang DNA mereka diwarisi oleh Hang Tuah @ Narai @ Iskandar Mahkota Alam ibni Nai Hisbu Muadzam Syah.
Jika diperhatikan sudah tentulah wujudnya persilangan DNA yang kompleks dalam tubuh badan Hang Tuah kerana beliau mewarisi DNA dari para Nabi dan tokoh terbilang serta penakluk yang gagah perkasa pada zaman lampau. DNA yang diwarisi ditambah dengan didikan dan persekitaran semasa mewujudkan satu watak yang amat hebat dengan izin Allah. Wallahua’lam.

Tuesday, February 21, 2012

KENAPA TUJUH (7)?

Foto 1: Nombor TUJUH (7) yang penuh misteri dan mempunyai nilai mistik yang tinggi.
Tujuh merupakan nombor unik yang mempunyai nilai mistik yang tertentu. Nilai yang membawa maksud Totality and Perfection atau Sempurna Secukupnya. Maksud yang dibawa tersebut amat bergantung kepada gabungan nombor yang menghasilkan nilai 7 tersebut. Di dalam dunia persilatan nilai 7 yang dibentuk dari gabungan 3 dan 4 merupakan kombinasi yang membawa maksud Totality and perfection tersebut. 3 dan 4 merupakan dua nombor yang membawa nilai ekstrem masing-masing dan apabila digabungkan menjadi sempurna secukupnya. Nilai ekstrem ini mewakili gabungan seperti berikut: atas-bawah, kiri-kanan, depan-belakang, zahir-batin, baik-buruk, lama-baru, awal-akhir dan lain-lain yang mempunyai maksud yang berlawanan. Asas kepada nombor tersebut meminjam dari nama dua hulubalang terkenal Melayu iaitu TUAH (TA.WAU.ALIF.HA) yang mengandungi 4 huruf dan JEBAT (JIM.BA.TA) yang mempunyai 3 huruf. Kedua hulubalang tersebut mempunyai nilai ekstrem yang ketara yang saling melengkapi antara satu sama lain. Nilai tujuh ini bukanlah satu kebetulan atau pun direka-reka supaya nilainya sebegitu rupa, tetapi ia menzahirkan kebenaran kepada sesuatu perkara yang melangkaui pemikiran manusia dan memerlukan pemahaman secara mistik.
Dalam aliran persilatan seperti  yang terdapat dalam Silat Seni Gayong, nilai 7 merupakan sesuatu yang lumrah kerana terlalu banyaknya factor 7 yang terkandung dalam ilmu persilatan tersebut. Bagi mereka yang menjadi pengamalnya maka perkara ini adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika mereka memahaminya, namun begitu mungkin ada juga segelintir yang tidak begitu memahaminya dan memandang remeh perkara tersebut. Sikap memandang remeh perkara ini kadang-kadang boleh membawa kepada tindakan dan perkataan yang tidak selari dengan falsafah dan ilmu Gayong yang dibawa oleh Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman (DMAR).
Jika dilihat kepada komponen pelajaran Silat Seni Gayong, konsep sempurna secukupnya dipamerkan dalam 7 komponen utama iaitu:
1.       Tapak Gayong-kaedah menanti serangan
2.       Pecahan Tapak-kaedah mengelak dan melakukan serangan
3.       Seni Simbat-kaedah menetak dan melibas
4.       Seni Keris-kaedah menikam
5.       Seni Cindai-kaedah melilit dan menjerut
6.       Seni Yoi-kaedah bersilat ditempat berlumpur
7.       Seni Belian-kaedah harimau mengoyak mangsa
Kesempurnaan secukupnya boleh dilihat dan difikirkan sendiri kerana jika seorang pesilat itu menguasai kemahiran ke tujuh-tujuh komponen tersebut pastilah ia mampu bersilat dalam apa jua keadaan dan boleh menggunakan apa jua senjata. Secara tersirat kesemua komponen tersebut wujud pada batang tubuh pesilat itu sendiri.
Atas dasar kesempurnaan secukupnya jugalah maka peringkat tertinggi dalam ilmu Gayong dizahirkan dalam bengkung Mahaguru yang bercula 7. Hanya mahaguru sahaja yang layak memakai bengkung hitam cula 7 kerana dalam konteks Silat Seni Gayong hanya beliau sahaja yang memiliki kesempurnaan secukupnya akan ilmu tersebut, dan tiada makhluk lain yang lebih faham dan tahu akan ilmu tersebut melainkan beliau sendiri. Itulah antara maksud tersirat terhadap bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti Tujuh yang dipakai oleh Mahaguru.
Seperti yang diperkatakan di atas tadi, gabungan nilai ekstrem yang membentuk 7 mempunyai maksud tersirat yang mendalam. Jika ada tujuh murid Gayong yang terawal sudah pasti wujud tujuh murid Gayong yang terakhir. Perkara ini dibangkitkan kerana sudah tiba masanya setelah disimpan selama hampir 21 tahun sebagai satu perkongsian ilmu untuk difikirkan bersama. Kisah ini cuba diringkaskan supaya perkara yang menjadi rahsia biarlah kekal sebagai rahsia. Kisahnya begini;
Kira-kira 21 tahun yang lalu empat orang pemuda telah berpakat untuk ke Ayer Kuning. Tujuan utama sebagai memenuhi jemputan Mahaguru ketika pertemuan dengan beliau di rumah Cikgu Md Khiyar di Kajang pada 21hb Februari 1991 supaya ke Taiping untuk mempelajari Seni Cindai. Mereka berempat sebenarnya masih mentah dalam Gayong tetapi rezeki yang datang tidak harus ditolak. Kemudian adik salah seorang pemuda telah ingin turut serta sekali kerana untuk diperlimau tapakkan di Taiping. Beberapa hari sebelum bertolak ke Taiping rancangan ini telah diketahui oleh dua orang lagi dan mereka juga telah menyatakan hasrat untuk ke Taiping. Jadi cukupla 7 orang kesemuanya yang pergi ke Ayer Kuning ketika itu.
Sesampai di Ayer Kuning, ketujuh mereka telah bertemu terlebih dahulu dengan Cikgu Khalsom (CK) dan memaklumkan hasrat dan tujuan. CK berkata “jika Dato’ yang jemput, maka elokla berjumpa Dato’ terlebih dahulu, tapi Dato’ amat uzur sekarang, jika Dato’ tidur biarkan dia, jangan kacau..” ujar CK. Ketujuh mereka pon pergi kebilik DMAR yang sedang berbaring di atas katil. Beliau sedang berbaring sambil jari jemarinya bercantum antara satu sama lain. Matanya sayup memandang ke atas siling. Mereka bertujuh sebenarnya berasa gementar dan serba salah juga melihat keadaan DMAR tersebut, tapi diberanikan juga, seorang yang lebih senior telah memberi salam kepada DMAR sebagai pembuka bicara. Salam tersebut dijawab oleh DMAR, dan semua mereka berasa lega dan tersenyum sendiri. “Hangpa mai dari mana?” Tanya DMAR. “Dari Selangor Dato’”, jawab yang senior. “Hangpa mai berapa orang?” Tanya lagi DMAR dan masih dalam keadaan asal beliau tanpa bergerak diperbaringan. Masing-masing memandang dan mula mengira. “Tujuh Dato’”, jawab mereka hampir serentak. “Tujuh!” balas DMAR secara ringkas dan beliau bingkas bangun dari perbaringan. Masing-masing terkejut melihat DMAR bangun secara tiba-tiba tersebut. Bermula dari detik itu DMAR mula bertanya, bercerita, menurunkan petua, mentera dan rahsia hulubalang kepada mereka bertujuh. Ada masanya beliau bangun berdiri dan kemudian duduk semula. Semangat seorang Mahaguru amat terserlah kerana dalam keadaan uzur pon beliau tetap kelihatan gagah apabila bercerita tentang ilmu Gayong. Beberapa kali juga Datin Faridah menjengok dan menegur DMAR, “Sudahla tu Dato’, tak payahla perturunkan banyak-banyak kat depa tu, nanti dah dapat depa tak mai dah..”. DMAR hanya tersenyum sahaja dengan teguran Datin. Setelah beberapa lama akhirnya DMAR telah menjanjikan sesuatu kepada mereka bertujuh. Kemudian keizinan untuk mempelajari Seni Cindai telah diberikan. Setelah selesai mempelajari Seni Cindai dari Cikgu Mat Yazi dan CK mereka bertujuh pon bersiap untuk pulang. Sebelum pulang sekali lagi bertemu DMAR. Semasa pertemuan itu DMAR sendiri berkata” Mai sini ambik gambaq dengan Dato’, tak pa duduk sini sekali”, sambil menepuk tangannya ke atas tilam. Mereka bertujuh cuba duduk di atas tilam sebagai mematuhi arahan DMAR, tetapi memandangkan katil sudah berkeriuk bunyinya maka tiga orang lagi berdiri di sisi katil. Gambar tersebut dirakamkan oleh Sheera anak angkat DMAR yang paling muda. Kemudian mereka pon pulang dengan hati yang berat kerana memandangkan keuzuran DMAR ketika itu.
Ketika pertemuan dengan CK semasa hari pengkebumian jenazah DMAR, CK memberitahu bahawa setelah ketujuh mereka pulang, DMAR telah memanggil CK dan kemudiannya menyerahkan cincin yang dipakai beliau kepada CK. “Som, hg pakailah cincin ini dan jagala elok-elok”. Itulah kata-kata DMAR kepada CK yang menyebabkan keluarnya airmata kesedihan dan kegusaran. “Dato’ macam dah tau saat dia dah tiba”, ujar CK. Selepas penyerahan cincin itu Dato' tidak lagi banyak berbicara apabila didatangi orang.
Tujuh yang dinukilkan di sini hanya sekelumit sahaja kerana bicara ini dalam konteks Gayong dan terhad kepada apa yang diperkatakan. Banyak lagi “rahsia terpendam dipurbakala” yang boleh dizahirkan bagi mereka yang ingin tahu dan faham.


Foto 2: Tujuh murid terakhir Dato’ Meor Abdul Rahman? Dari kiri di atas katil: Master, Sri Kandi, DMAR, Dino (belakang DMAR), Uda. Berdiri di sisi katil: Kiyai, Gadek @ Hulubalang 2020 dan Si Komeng. Dimanakah mereka sekarang, membawa haluan masing-masing? Kenapa?
Begitulah kisah yang telah berlaku kira-kira 21 tahun yang lalu. Hebatnya seorang Mahaguru lagenda di zaman moden ini telah dizahirkan oleh DMAR. Masing-masing mempunyai persepsi yang berbeza terhadap apa yang diperturunkan oleh DMAR. Jika tujuh orang maka akan wujud 7 persepsi yang berbeza, begitulah indahnya Gayong kerana Gayong itu HIDUP... Kerana itu dari satu dipecahkan tujuh, dan setiap tujuh itu dipecahkan tujuh.. Secara fitrahnya Gayong itu berpecah, pecahnya Gayong kerana sayang, maka hebatlah mereka yang berjaya mencantumkan Gayong, kerana pada hati mereka itu pasti mengingat Junjungan empunya seru....Wallahua’lam.

Friday, January 6, 2012

MISTERI KRIS TAMING SARI DI ISTANA PERAK

Foto: Kris Taming Sari yang berada dalam simpanan Istana Perak.
Kris Taming Sari merupakan sebilah keris yang amat terkenal di kalangan masyarakat Melayu di Nusantara ini. Kesah pertarungan antara Hang Tuah dan hulubalang Majapahit yang bergelar Taming Sari merupakan permulaan kepada terkenalnya kris tersebut. Terdapat banyak kesah, misteri dan versi berkaitan Kris Taming Sari ini. Posting kali ini mengutarakan salah satu versi dari jurai Merong Maha Wangsa, kerana ia berhubungkait dengan Hang Tuah @ Iskandar Mahkota Alam @ Narai salah seorang Maharaja Ayutthaya.
Apabila Taming Sari di miliki oleh Hang Tuah, ianya telah menjadi keris pusaka kebesaran bagi Maharaja Ayutthaya yang memerintah secara bergilir-gilir. Ianya diwarisi turun temurun sehingga kejatuhan Ayutthaya disebabkan pengkhianatan panglima perangnya pada tahun 1767 semasa pemerintahan Syarif Abu Bakar Syah. Semenjak itu pemerintahan secara nomad sebagai Raja Besar dilakukan oleh keturunan Syarif Abu Bakar sehinggalah Raja yang terakhir Sultan Jaafar Muadzam Syah @ Encik Long Jaafar.
Pembunuhan JWW Birch pada tahun 1875 merupakan titik penting yang menjadi sebab musabab lenyapnya sejarah Merong Maha Wangsa apabila pada tahun 1876 Sultan Jaafar Muadzam Syah dibunuh oleh pengkhianat dengan cara dipijak oleh gajah di Gurun, Kedah. Pusat pemerintahan anak beliau di Kota Ngah Ibrahim telah diserbu oleh British dan talibarutnya dan mereka telah merampas alat-alat kebesaran yang dimiliki oleh Sultan Jaafar Muadzam Syah, termasuklah Kris Taming Sari yang telah diwarisi turun temurun. Kesemua barang rampasan tersebut telah dirancang untuk dibawa pulang oleh British ke London untuk simpanan muzium di sana, walaubagaimanapun sultan yang dilantik dan diiktiraf oleh British ketika itu merayu supaya Kris Taming Sari tidak dibawa ke England dan kerana itu kekal tersimpan menjadi keris kebesaran istana Perak sehingga ke hari ini.
Bagi anak-anak Gayong, semua sudah maklum bahawa Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman mempunyai hubungan yang rapat dengan istana Perak. Hubungan yang rapat ini tidaklah terjadi secara kebetulan kerana moyang DMAR di sebelah ibu ialah Syed Idris @ Tok Moris Raja Kota Star yang juga merupakan abang kepada Syed Ismail @ Sultan Ismail Kinta. Syed Idris juga merupakan sepupu kepada Sultan Jaafar Muadzam Syah @ Encik Long Jaafar. Peluang untuk berada di istana ini dan hubungan yang akrab dengan sultan merupakan suatu yang amat berharga kerana DMAR sendiri boleh melihat, memegang dan ‘merasa’ Kris Taming Sari tersebut yang tersimpan di Istana Perak, ini adalah disebabkan DMAR sendiri mempunyai pertalian darah kepada Hang Tuah @ Narai yang menjadi pemilik kepada Kris Taming Sari. Rentetan dari itu timbul berbagai cerita yang boleh dikaitkan antara DMAR dan Kris Taming Sari yang terdapat di Istana Perak tersebut.
Misteri Kris Taming Sari yang tiada kesudahan ini dibawa bersama dengan pulangnya DMAR ke rahmatullah dan disemadikan di Masjid Lama Taiping, Perak. Jadi tidak hairanlah jasad DMAR dikebumikan di Masjid Lama Taiping yang dibina oleh kaum kerabat Ngah Ibrahim di mana kebanyakan yang dikebumikan di situ terdiri dari kaum kerabat Ngah Ibrahim sendiri dari Jurai Merong Maha Wangsa.

Friday, December 2, 2011

MERONG DAN WANGSA SIMBOLIK UMNO

Foto1: Logo UMNO merupakan imej simetri atau timbal balik. Jika dilihat dari atas ke bawah ialah huruf FA, KAF, MIM, BA, RO (PEKEMBAR – Parti Kebangsaan Melayu Bersatu) dan dari bawah ke atas ialah huruf ALIF, MIM, NUN, WAU (UMNO – United Malay Nation Organization).

Logo ini yang telah dicipta oleh tokoh ilmuan terkenal Prof Dr Syed Muhammad Naguib Al Attas penuh dengan maksud yang tersirat dan nilai seni yang tinggi menggambarkan kebijaksanaan yang wujud disebalik rekabentuknya. Tafsiran bagi maksud yang tersirat boleh dibuat dari pelbagai sudut dan perspektif masing-masing. Ianya bergantung kepada apa yang ada dalam kotak pemikiran kita. “You see what you believe”.
Bagi anak-anak Gayong imej abstrak Merong dan Wangsa adalah perkara biasa yang boleh dilihat seperti yang dipaparkan di Foto 2.
Foto2: Logo Gayong yang biasa digunakan oleh Mahaguru Dato’ Meor Abdul Rahman menzahirkan Merong dan Wangsa secara abstract. Cuba lihat dengan teliti motif Merong dan Wangsa tersebut.
Bagaimana pula dengan logo UMNO sebuah parti yang sentiasa dimomokkan oleh pengikut parti-parti politik yang tidak sehaluan. Jika dilihat secara terperinci logo UMNO juga mempunyai motif Merong dan Wangsa yang wujud secara abstract.
Foto3: Merong dan Wangsa wujud secara simbolik dalam logo UMNO. Adakah simbolik ini yang dimaksudkan oleh Dato’ Onn Jaafar apabila beliau mengungkapkan kata-kata “Raja itulah rakyat, rakyat itulah Raja”. Ramai juga tokoh politik dari jurai keturunan Merong Maha Wangsa yang melibatkan diri dalam UMNO.
UMNO adalah sebuah parti politik yang menjadi wadah perjuangan orang Melayu dalam mempertahankan agama, bangsa dan Negara. Parti UMNO telah wujud hasil dari pengorbanan keringat, airmata, harta, darah dan nyawa pejuang-pejuang terdahulu. Terdirinya UMNO atas berkat perpaduan, kepercayaan, kesabaran dan doa orang yang ikhlas dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan Negara. Berkat doa inilah yang menjadikan UMNO sebuah parti keramat, mereka yang menyeleweng dari prinsip perjuangan asal pasti lambat laun akan kecundang. Sejarah reality telah membuktikan. Awas! Berjuanglah dengan penuh keikhlasan.

Friday, October 28, 2011

PREMOLAR LEONG: SATU LEGASI MERONG MAHAWANGSA?

Foto 1: Petikan dari Hong Kong Dental Journal berkaitan Premolar Leong. Perkataan “Mongoloid origin” membawa maksud yang mendalam bagi cucu cicit Merong Mahawangsa.
Foto 2: Premolar Leong yang terdapat di gigi salah seorang cucu cicit Syariff Yang Dipertuan Abu Bakar Syah.
Kali ini mari kita baca sebuah cerpen yang berkaitan Premolar Leong dan ditulis secara santai dan mudah untuk difahami bagi mereka yang ingin memahami:
Satu peristiwa yang sungguh menggujakan telah berlaku di sebuah klinik pergigian swasta apabila seorang ibu berbangsa Melayu telah membawa anak lelakinya yang berumur 13 tahun untuk membuat pemeriksaan gigi. Setelah gigi budak tersebut diperiksa doctor yang bertugas bertanyakan kepada ibunya, “Puan berkahwin dengan orang cina ke?” Maka jawab ibu tersebut, “Tak adalah..”. Doktor tersebut bertanyakan lagi soalan,”Ada keturunan Cina ke?”. Ibu tersebut kelihatan mengerut muka apabila mendengar soalan tersebut seraya menjawab dan bertanya kembali ,”Tak adalah doctor, setahu saya tak ada pula keluarga kita orang pernah berkahwin dengan orang Cina, tapi tak tahulah kalau tok nenek moyang dulu berkahwin dengan Cina, sebelah saya Jawa campur Banjar, sebelah suami saya Siam campur Batak, kiranya pure Melayu lah, kenapa doctor tanya pasal Cina ni..?”. Doktor tersebut memandang muka ibu yang sedang tertanya-tanya dan kehairanan sambil tersenyum dan berkata,” Anak puan ni pada gigi dia terdapat satu struktur macam tanduk kecil, ada dua gigi sebelah kiri dan kanan yang mempunyai struktur tu, struktur kecil ni boleh menjejaskan kesihatan gigi”. Ibu tersebut menjadi lebih hairan dan bertanya lagi,”Habis tu apa kena mengena dengan orang Cina yang doctor asyik bertanyakan tadi?” Doktor gigi tersebut tersenyum lagi sambil tergelak kecil dan menampakkan giginya yang bersih dan teratur selayaknya sebagai doctor gigi, “Macam ni puan, struktur ni dikenali dalam sains pergigian sebagai Premolar Leong, dan ianya biasa dijumpai dikalangan orang Cina sahaja. Nama struktur ini pun sempena nama seorang Cina yang menjumpainya, amat jarang dan sukar dijumpai dikalangan bangsa lain”, jawab doctor tersebut dengan bersungguh-sungguh. Ibu tersebut sedikit tersenyum mendengar penjelasan doctor tersebut. Tapi dalam fikirannya masih terngiang-ngiang perkataan “Cina” tersebut, dan ada sesuatu yang perlu diberitahu kepada suaminya apabila tiba di rumah nanti.
Ketika makan malam seisi keluarga, si isteri berceritakan peristiwa di klinik kepada suaminya yang sedang menikmati makanan kegemaran, nasi berlaukkan daging goreng, sambal belacan dan petai. Setelah mendengar dengan teliti cerita si isteri, si suami pun bersuara,”Laa.. kan tok nenek dulu asal dari Cina, Merong Maha Wangsa tu kan cucu maharaja Cina. Kalau tengok kat belah Sultan Zahirudin Babur Syah, pengasas Empayar Mughal India tu pun, dia tu cucu cicit Genghis Khan aje. Semua tu turun ke Syariff Yang Dipertuan Abu Bakar Syah. Tu kira petunjukla tu, sejarah reality, yang berasaskan reality kehidupan memang boleh dibuktikan dengan penemuan dan ilmu sains”, cerita si suami dengan penuh semangat setelah lama berdiam mendengar cerita si isteri. “Agaknya Raja Bersiong dulupun ada Premolar Leong jugak, tapi yang besar lerr..”, tambah si suami sambil tersenyum. “Hmmmm..., menarik betui cerita Premolar Leong ni, yang pastinya, adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika cucu cicit Syariff Yang Dipertuan Abu Bakar Syah memiliki Premolar Leong..”, kata si suami sambil mencebekkan bibirnya kearah si isteri dan berlalu ke dapur membawa sekali pinggan nasi yang digunakan ke sinki untuk dibasuh. Tamat.

Wednesday, October 26, 2011

ROBOHNYA KOTA STAR

Foto: Empat gambaran Kota Star terdiri dari tiga yang asal dan satu replica yang telah dibina semula setelah dirobohkan atas alasan yang tidak bijak dan munasabah.

Jika dilihat pada foto di atas struktur Kota Star yang asal masih kukuh ketika ianya dirobohkan, walaupun sedikit demi sedikit ada tangan-tangan yang cuba merosakkannya. Kerosakan boleh dilakukan terhadap symbol-simbol tertentu yang perlu dihilangkan bagi melenyapkan satu legasi. Kota Star ini pernah dipimpin oleh Syed Idris ibni Syed Hatta atau lebih dikenali sebagai Tok Moris setelah beliau dilantik menjadi Raja Daerah Kota Star oleh nendanya  Sultan Muzaffar III @ Koya Long.
Berikut ialah notis yang boleh dibaca pada replica kota tersebut. “Pintu gerbang ini asalnya terletak di hadapan Istana Kota Tengah, Bandar Alor Star yang merupakan salah sebuah istana Almarhum DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-26 (1882-1943). Istana ini pernah dikunjungi oleh King Chulalongkorn dari Thailand pada 13 Mei 1890. Di atas tapak istana ini kemudiannya telah dibina Wisma Negeri (1973) menyebabkan pintu gerbang yang asal itu terpaksa dirobohkan. Pada  tahun 2008, pintu gerbang itu telah dibina semula sebagaimana bentuk asalnya. Pada setiap sudut pintu gerbang ini mengandungi pelbagai ukiran dan lukisan melambangkan maksud-maksud tertentu hasil ciptaan tukang-tukang Melayu di zaman silam.”
Walaupun telah dibina semula dan didakwa mengikut bentuk asalnya tetapi banyak perkara yang perlu diteliti semula dari rekod-rekod dahulu dan foto-foto yang dipaparkan kerana jelas terdapat beberapa motif ukiran yang telah ditiadakan. Persoalan yang selalu bermain difikiran ini apabila melawat tapak sejarah seperti ini ialah, “Kenapa kota-kota lama ini dirobohkan atau dibiarkan begitu sahaja sedangkan kota penjajah dijaga dengan rapi?” Tanah air tercinta ini tiada malapetaka seperti gempa bumi dan sebagainya kerana mukabumi ini dari jenis gunung lipat tua, tetapi kenapa kota-kota lama kita roboh dan lenyap? Jawapannya ialah lenyap kerana dirobohkan. Kenapa dirobohkan? Jawapannya.... ceghita pon tak guna!